Berita

Perlu laksana kajian terperinci elak percanggahan

- Diterbit 18 Februari 2024 8:44 PM MYT

KAJIAN terperinci perlu dilaksanakan membabitkan 16 Enakmen Syariah yang terbatal bagi mengelakkan percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaydia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu melihat semula perkara-perkara yang tidak termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

AHMAD MARTADHA

“Umum sedia maklum, pindaan dari Mahkamah Syariah berdasarkan kepada undang-undang yang diluluskan oleh DUN, jadi segala undang yang diluluskan itu baru akan dilaksanakan di setiap Mahkamah Syariah.

Justeru itu, pada saya, adalah lebih penting bagaimana pihak mahkamah dan kerajaan memastikan supaya 16­ enakmen yang terbatal itu kerana undang-undang di bawah Mahkamah Persekutuan ataupun di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Maknanya di sini, DUN perlu lihat semula perkara-perkara yang tidak termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya baru-baru ini.

Tambah Ahmad Martadha, ia akan memudahkan kerja Mahkamah Syariah bagi melaksanakan semula peraturan-peraturan supaya tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

“Bila tidak berlaku pencanggahan, barulah hukuman yang dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang Syariah tidak melanggar undang-undang Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Jelas Ahmad Martadha, penelitian semula undang-undang Syariah adalah satu keperluan.

“Ia perlu kerana pada saya dan masyarakat Islam seluruh negara berasakan perlu ada peraturan-peraturan yang jelas berkaitan dengan tatasusila masyarakat Islam di sesebuah negeri itu.

“Kalau kita lihat peraturan-peraturan sebelum ini di bawah Enakmen Syariah di setiap negeri, kebanyakannya berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang mungkin penting untuk diambil tindakan tetapi apabila terbatal, ada perundangan yang wujud di Mahkamah Persekutuan dan ada peruntukan yang telah dinyatakan dengan jelas bahawa ia termaktub di bawah perundangan Syariah,” katanya.

Mengulas lanjut, tambah beliau adalah penting bagi pemerkasaan semula undang-undang Syariah bagi memastikan perkara yang dianggap diletakkan di bawah bidang kuasa Persekutuan mungkin tidak lagi perlu dinyatakan di Enakmen Undang-Undang Syariah.

Terdahulu, media melaporkan, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas