Berita

Pendaftaran bagi kejohanan e-sport Malaysia dibuka hingga 5 Januari

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 27 Disember 2023 4:55 PM MYT

PENDAFTARAN bagi kejohanan Malaysia Esports Championship 2023/2024 (MEC23/24) yang menawarkan hadiah terkumpul RM250,000 kini dibuka hingga 5 Januari depan.

Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) yang dibangunkan selaras dengan Rancangan Pembangunan E-sukan KBS 2020-2025 itu akan menampilkan lima permainan yang terdiri daripada Player Unknown’s Battleground (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Dota 2, Tekken 7 dan Gran Turismo 7.

ESI dalam kenyataan berkata PUBG Mobile dan MLBB akan mengetengahkan pasukan e-sukan profesional yang telah menempah tempat untuk bertanding dalam MEC23/24 berdasarkan kejuaraan masing-masing.

“Dalam kategori PUBG Mobile, juara Malaysia Esports League 2023 dan MyLadies Championship 2022 dijemput untuk bertanding di peringkat playoff bersama 30 pasukan lain daripada kelayakan terbuka.

“Sementara itu dalam kategori MLBB, juara Malaysia Esports League 2023, MyLadies Championship 2022, Esports State League (ESTL) dan 2023 Johor All Star Esports dijemput untuk bertanding di peringkat playoff dengan empat pasukan lain daripada kelayakan terbuka,” menurut kenyataan itu.

Bagi Dota 2 dan MLBB, kelayakan terbuka akan berlangsung secara dalam talian pada 15-20 Jan ini, diikuti dengan playoff dan final utama dari 2 hingga 4 Feb, manakala bagi PUBG Mobile, kelayakan terbuka dijadualkan berlangsung 15-20 Jan, diikuti dengan playoff dan final utama 26-28 (secara fizikal).

Bagi Tekken 7 dan Gran Turismo 7, kejohanan terbuka, playoff dan final utama dijadualkan berlangsung 26 hingga 28 Januari secara fizikal. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas