Berita

Pendapatan meningkat, peniaga mahu Jualan Agro MADANI diteruskan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Disember 2023 4:55 PM MYT

PENIAGA Program Jualan Agro MADANI di bawah inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di sini mahu konsep perniagaan itu diteruskan kerana ia memberi impak menang-menang kepada peniaga dan pelanggan.

Peniaga sayur, Puteri Nur Atiqah Azlan, 25, berkata beliau amat berpuas hati dengan momentum pendapatan yang meningkat sebanyak 80 peratus menerusi program jualan itu yang disertai sejak Ogos lepas.

“Sebelum ini ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), perniagaan kami jatuh sebab pandemik COVID-19. Namun, sejak menyertai Program Jualan Agro MADANI, purata jualan harian kami di program ini meningkat, iaitu antara RM500 dan RM600.

“Sayur habis dijual setiap hari, jadi esoknya kami akan jual sayur baharu yang sudah pasti segar terutamanya yang kami petik dari kebun kami sendiri iaitu bayam, kangkung, sawi dan timun,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Malaya itu kepada Bernama di lokasi program di kawasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Peniaga buah potong, Kamal Salleh, 42, pula menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik untuk peniaga kecil sepertinya meraih pendapatan bagi menyara keluarga dengan purata pendapatan harian antara RM700 dan RM800.

“Saya sudah enam tahun meniaga buah potong di tepi jalan, tapi bila dapat tahu pasal program ini tahun lepas, saya terus turut serta. Dalam seminggu, saya meniaga di tiga lokasi iaitu Selasa di KKM (Kementerian Kesihatan), Rabu di KKDW manakala Khamis di KDN (Kementerian Dalam Negeri),” katanya yang memperoleh pendapatan harian antara RM700 hingga RM800.

Berdasarkan trend sambutan daripada pelanggan, Kamal berharap program yang memberi manfaat kepada peniaga kecil itu diteruskan kerana ia bukan sahaja menguntungkan penjual malah ia turut dinanti-nantikan pelanggan.

“Bila pelanggan ke sini, mereka akan dapat yang diingini pada harga berpatutan dan segar. Macam saya jual buah potong, saya janjikan produk yang segar dan elok supaya pelanggan puas hati malah dapat beli pada harga rahmah,” katanya yang berasal dari Selangor.

Penjual daging lembu tempatan, Hilmi Yusof, 46, berkata hasil jualan harian produk dagingnya meningkat sebanyak 30 peratus, dengan purata pendapatan harian antara RM700 dan RM800, sejak menyertai Program Jualan Agro MADANI.

“Saya sertai program ini pertengahan tahun ini, saya bersyukur sebab di sinilah peluang peniaga kecil untuk tambah pendapatan. Program ini juga bagus untuk penjawat awam sebab kita dapat bantu mereka untuk dapatkan bekalan barangan keperluan harian pada hari bekerja,” katanya.

Hilmi berkata antara produk daging yang ditawarkan ialah daging pejal, tulang rusuk, ekor dan daging kambing, yang dibawa dari ladang seliaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

“Biasanya pelanggan yang datang adalah pelanggan setia sebab mereka suka dengan harga yang kami tawarkan serta kualiti produk yang segar,” katanya.

Program Jualan Agro MADANI adalah penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama strategik agensi di bawah KPKM iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Inisiatif itu bagi membantu rakyat di seluruh negara mendapatkan bekalan produk segar dengan mudah pada harga berpatutan serta penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran tempatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas