Atlet Wilayah

Muay Thai bawa tuah buat Hakim

- Diterbit 4 Disember 2020 6:06 AM MYT

SETIAP kali berada di gelanggang, aksi ‘ganas’ atlet Muay Thai Wilayah Persekutuan, Mohamad Shahrul Hakim Rosli, 21, sering menggentarkan pihak lawan. Mahu bergelar ahli sukan profesional, dia bersyukur kerana laluannya mudah dalam dunia sukan.

Berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, atlet yang mesra dipanggil Hakim berkata, sejurus kemenangannya itu dia ditawarkan menjadi peninju untuk pasukan beruniform kerajaan.

“Alhamdulillah. Ia merupakan peluang keemasan yang saya sendiri tidak pernah menyangka. Cuma bezanya, saya bermain sukan tinju bukan Muay Thai untuk mewakili badan beruniform tersebut.

“Saya tiada masalah dengan kedua-dua sukan tersebut kerana rentaknya hampir sama. Cuma apabila berada di gelanggang tinju, saya akan belajar kunci kaki dan fokus pada tumbukan sahaja,” ujarnya kepada Wilayahku.

Katanya, walau bagaimanapun kedua-dua sukan tersebut memiliki persamaan dari segi latihan antaranya berjoging serta menggunakan beg tinju bagi menumpukan kestabilan, kekuatan dan sparring.

Menariknya, sepanjang hampir dua tahun bersama pasukan itu, dia berjaya meraih pelbagai anugerah dan berasa bangga kerana mengharumkan nama badan beruniform tersebut dalam sukan tinju.

“Selain daripada aktif mewakili pasukan itu, saya juga sentiasa menyertai kejohanan terbuka Muay Thai di dalam
mahupun luar negara. Kini, saya sedang dalam pelepasan untuk menjalani persediaan latihan SUKMA 2022.

“Biarpun kejohanan SUKMA ditunda, namun tetap menjalani latihan seperti biasa untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit supaya menjadi lebih padu,” kata anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini.

Tambah peninju terbaik tentera ini, latihan yang konsisten amat diperlukan dan dia tidak ketinggalan menjalani latihan 15 pusingan menggunakan beg tinju bagi menambah kecergasan fizikal dan mental.

Pencapaian Shahrul Hakim
2019 – Kejohanan Tinju Peringkat 5Briged (Johan)
2018 – SUKMA (Pingat Emas)
2018 – Kejohanan Muay Thai Terbuka Kota Bharu (Johan dan Tali Pinggang)
2018 – Kejohanan Terbuka DBKL Kuda Merah International Championship (Tali Pinggang Kuda Merah PDRM)
2017 – Kejohanan Terbuka Pahang (Tali Pinggang Raden Mas)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas