Berita

MN Wilayah Persekutuan ikrar juarai isu rakyat

- Diterbit 4 Disember 2020 8:00 AM MYT

GANDINGAN UMNO serta PAS melalui Muafakat Nasional (MN) Wilayah Persekutuan, sepakat dan berikrar untuk menjuarai hati rakyat terutamanya warga penduduk setempat.

Kesepakatan itu dicapai hasil Mesyuarat MN Ke-2 Peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung kondusif dengan kejayaan menghimpun barisan kepimpinan tertinggi daripada kedua-dua parti.

Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Kamal berkata, mesyuarat berjalan santai namun penuh pengisian penting apabila  kedua-dua parti amat terbuka dan berikrar menjuarai hati rakyat terutamanya warga Wilayah Persekutuan.

“Kedua-dua parti, UMNO dan PAS komited untuk terus memperkukuh kerjasama dibentuk melalui gagasan MN. Malahan kita sepakat meneruskan agenda dalam memperkasa dan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Hasil kerjasama dan ukwah terbentuk kita yakin boleh menawan kembali Wilayah Persekutuan ini serta bersedia membawa suara rakyat di Dewan Parlimen berbanding bertelagah sesama sendiri tanpa menguntungkan sesiapa,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Beliau mengulas hasil Mesyuarat MN Kali Ke-2 Peringkat Wilayah Persekutuan, semalam turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut Mustapa, kedua-dua parti juga telah pun menzahirkan komitmen ikhlas dibentuk berasas semangat setiakawan demi untuk kesejahteraan Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas