Berita

MITI keluarkan surat batal operasi kilang arak ketika PKP

BANGUNAN MITI
- Diterbit 6 April 2020 7:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan membatalkan serta-merta kelulusan operasi kilang arak Heineken dan Calsberg dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dipersetujui hasil mesyuarat khas Kabinet dipengerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap isu tersebut.

“Kelulusan yang diberikan sebelum ini (kepada dua kilang tersebut) dibatalkan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat pembatalan serta-merta. Justeru, tiada isu lagi berkaitannya,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Terdahulu isu pengecualian operasi kepada kilang tersebut tular media sosial semalam sehingga mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak.

Pengecualian tersebut dimaklumkan menerusi satu surat kelulusan yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad bertarikh 31 Mac.

Berdasarkan surat tersebut menyebut, setelah diteliti dan disemak, syarikat berkenaan memenuhi kriteria ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

“Sehubungan itu kementerian mengesahkan dan bersetuju bahawa aktiviti perniagaan tuan boleh dibuka/beroperasi bagi memastikan pembekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas