Berita

Malaysia sertai kaji selidik global uji rawatan Covid-19

PENYELIDIKAN dilakukan KKM bersama WHO diharap berhasil menguji keberkesanan jenis ubat yang dapat merawat Covid-19. Gambar hiasan KKM
- Diterbit 6 April 2020 6:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Kaji Selidik Solidariti yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat Covid-19.

Kaji selidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha yang julung-julung kali dilakukan bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir /Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian telah menyegerakan proses pelaksanaan kaji selidik ubat untuk merawat pesakit Covid-19 yang akan bermula tidak lama lagi.

“Sebanyak sembilan buah hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.

“Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kajiselidik WHO di Malaysia.

Penyelidikan tersebut akan diketuai Dr Chow Ting Soo iaitu Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang dengan pasukan yang terdiri daripada 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital-hospital KKM masing-masing.

Dr Noor Hisham memberi jaminan bahawa kaji selidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Dalam pada itu,  Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura. Dr Ying-Ru Lo berkata, pandemik global ini menjejaskan lebih 180 buah negara dan salah satu daripada ubat-ubatan tersebut adalah harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti Covid-19.

“Inilah peluang kita, sebagai sebuah komuniti global untuk menentang gelombang pandemik ini. Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kaji selidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas