Berita

Ada surat bebas Covid-19 baru boleh balik Malaysia

RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura perlu bebas Covid-19 sebelum dibenar pulang. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 April 2020 7:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Pekerja Malaysia yang berada di Singapura tidak dibenarkan pulang ke tanah air selagi tidak mendapat surat kelulusan bebas Covid-19 daripada republik tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merupakan penjanjian awal antara Malaysia dan Singapura dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sebelum mereka pulang harus melakukan saringan dan mendapat surat kelulusan bebas Covid-19.

“Setakat semalam hanya tiga orang rakyat kita merentasi sempadan Singapura pulang ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, terdapat perubahan penjanjian akan dilakukan berhubung isu tersebut yang melibatkan Kementerian Luar antara kedua-dua negara.

“Saya percaya mesyuarat pagi esok, Kementerian Luar memaklumkan syarat-syarat yang telah dipersetujui,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri memberitahu, pelarian Rohingya yang ditahan di Langkawi, Kedah akan menjalani kuarantin.

“Kementerian Luar, Jabatan Imigresen dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ditugaskan untuk membantu dan menyelesaikan isu dihadapi pelarian tersebut,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas