Selebriti

Mengaku salah miliki dadah, Niezam Zaidi minta maaf

- Diterbit 12 Oktober 2021 2:01 PM MYT

PELAKON filem Budak Pailang, Niezam Zaidi memohon maaf secara terbuka di Instagram (IG) setelah beberapa jam diikat jamin berkaitan kes melibatkan dadah.
Dalam hantaran tersebut, Niezam atau nama sebenanya Muhamad Niezam Mohd Zaidi,29, turut berterima kasih kepada semua yang telah mendoakannya.

“Assalamualaikum semua, saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua. Saya minta maaf juga tidak dapat membalas satu-satu comment sahabat handai,media dan rakan-rakan seperjuangan melalui DM,whatsapp,call dan sebagainya.

“Alhamdulillah,syukur pada Allah diatas apa yang terjadi dan jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini,semoga Allah merahmati kalian.

“Buat masa sekarang,saya simpan apa-apa comment mengenai isu ini. Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati,amin,” tulisnya.

Terdahulu, Niezam bersama dua lagi individu mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Niezam didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.15 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira pukul 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, pengarah dan penolong pengarah, Mohd. Latiff Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 47, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.30 gram dadah jenis kanabis dan 0.38 gram dadah jenis methamphetamine. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas