Selebriti

Ramli Sarip luah kisah perjalanan hidup dalam RASA

|DATUK Ramli Sarip harap album RASA disukai peminat
- Diterbit 12 Oktober 2021 4:40 AM MYT

RINDU peminat terubat apabila penyanyi lagenda negara, Datuk Ramli Sarip kini muncul dengan album terbaharu berjudul RASA.

Ramli Sarip yang juga dikenali sebagai Papa Rock ini mengaku pelbagai kisah suka duka perjalanannya sebagai penghibur diceritakan dalam album tersebut.

RASA adalah sebuah perjalanan muzik Datuk Ramli Sarip yang disampaikan dengan penyatuan elemen muzik folk dan blues, rock dan pop bernuansakan alam Nusantara Melayu yang menjentik jiwa bersama bait-bait lirik penuh dengan metafora dan makna.

DATUK Ramli Sarip harap album RASA disukai peminat

Menyentuh tentang RASA, penghibur itu mengakui bahawa album baharunya itu memiliki segala resepi dan ramuan terbaik yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Apabila dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu, ia memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan merekacipta konsep sangat menarik.

“Ia seperti mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity. Setiap album ada warna, karakter dan semangatnya yang tersendiri.

“Sebetulnya, saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single dan kebetulan saya memiliki bahan-bahan lagu baharu yang cukup untuk merakamkan 10 lagu. Maka, terhasillah RASA,” katanya.

Pembikinan dan penerbitan album RASA yang memuatkan 10 lagu ini menjadi lebih unik apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura apabila pandemik COVID-19 mula menyerang dunia pada tahun 2020.

Bersama band muzik pengiringnya Soul Journey iaitu Rozario Rasul (pengarah muzik dan pemain keyboard), Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bes), Tom Annuar (pemain dram) beserta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama), Ramli sempat merakamkan tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur.

Manakala di Singapura beliau menghabiskan tujuh lagu lagi bersama pemuzik terbaik Singapura saperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani, Al Hafiz Jumat dan Julian Lim.

“Antara tahun 2018-2019, lagu pertama yang saya rakam di Kuala Lumpur adalah lagu Srikandi Zaman yang mengisahkan empat orang wanita agung, di antaranya ialah Saidatina Khadijah Binti Khuwallid R.A. Lirik nukilan Pn Hartinah Ahmad.

“Lagu kedua adalah lagu Sentosa Di Kubah Hayat yang mana liriknya ditulis Arifin Arif.

“Lagu ketiga pula ialah Surat Cinta Kuala Lumpur  adalah lagu tema pelancaran untuk acara Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 (KLWBC2020) anjuran Unesco yang diisytiharkan pada 23 April 2020. Ketiga-tiga lagu ini saya rakamkan di Kuala Lumpur”.

Namun, disebabkan penularan COVID-19, pembikinan album RASA agak terganggu kerana ketika itu seluruh masyarakat perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu, Ramli dalam perjalanan dari Bandung menuju ke Kuala Lumpur tetapi kemudian beliau terpaksa pulang ke Singapura apabila situasi wabak ini menjadi lebih teruk.

“Setibanya saya di Singapura, saya terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari dan saya akui ia adalah tempoh yang benar-benar menyukarkan saya kerana saya tidak dapat bergerak ke mana- mana dan hanya terperap di rumah.

“Tetapi, dari satu sisi, ia memberi kesempatan untuk saya mendapatkan lebih banyak ilham untuk menyiapkan album ini dan merakamkan tujuh buah lagi lagu dengan menggunakan khidmat pemuzik-pemuzik berkaliber di Singapura dan Malaysia,” katanya.

Di Singapura, Ramli sempat merakamkan lagu berjudul Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.

Ramli memilih untuk merakamkan semula lagu Ayah dan Ibu kerana ia adalah sebuah lagu mencabar ciptaan dan nyanyian dicipta A Rahman yang telah dirakamkan sekitar 1940-an.

“Pada tahun 1981 pula, Allahyarham Sudirman Haji Arshad membuat rakaman semula lagu ini bersama EMI. Lagu ini dipilih sebagai mengenang Ayah dan Ibu yang telah lama meninggalkan kami. Anda kena nilai sendiri versi saya.

“Cinta Di Sebalik Musim adalah karya seorang komposer bernama T-Zi dan liriknya dihasilkan oleh S Amin Shahab. Awalnya, lagu ini tidak begitu menarik minat saya. Tetapi, nuansa Timur pada melodi lagu ini sangat menarik dan liriknya juga sangat puitis dan halus. Ia membuatkan saya tertarik dengan lagu ini.

“Tajuk awal lagu ini adalah Meranti Condong Timur, tetapi kemudian ia diganti kepada Cinta Di Sebalik Musim. Ia lebih sesuai dengan lagu ini,” katanyalagu

Cabaran rakam lagu ketika pandemik COVID-19

Ramli mengakui menyiapkan album ini dalam waktu pandemik adalah satu cabaran kerana melahirkan karya pada saat industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan tawaran nyanyian membuatkan dirinya gundah.

“Bila berkarya kita lupa tentang hal-hal yang lain. Kita kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik dan ilham-ilham itu terus keluar mengalir dan kita membiarkan diri kita berada pada puncak waktu itu.

“Malah, semasa di studio rakaman, ada suatu pengalaman unik yang saya lalui saat melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku.

“Ianya sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baru yang kuat untuk terus berkarya.

“Kerana itulah RASA kali ini mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang.

“Cita rasa baharu ini memberi sinar dan warna dalam dunia seni. Cintailah alam dan berkasih sayanglah sesama ummah. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baru,” katanya.

Untuk catatan sejarah, inilah album pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Singapura selepas album Bukan Kerana Nama di bawah naungan Warner Music Singapore pada tahun 1986.

Berikutnya, album Perjalanan Hidup contract beliau diambil alih oleh Warner Music Malaysia sehinggalah tahun 1994.

Pada tahun 1997 selepas berakhirnya isu rambut di Malaysia beliau menerbitkan album Ramli Sarip ALIVE dan Syair Timur bersama Legend Music yang kemudian diambil alih oleh syarikat beliau sendiri iaitu Rasa Karya Sdn Bhd hinggalah ke hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas