Berita

Didakwa abai kaum India, kerajaan tidak pilih ‘bulu’

ANWAR sentiasa mendekati masyarakat India bagi memastikan isu-isu yang membelenggu dapat diselesaikan.
- Diterbit 26 April 2024 8:55 AM MYT

JIKA diteliti sedalam-dalamnya konsep Malaysia MADANI itu sendiri, jelas menunjukkan ia memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memastikan tiada satu kaum pun yang tercicir dalam agenda arus pembangunan negara.

Namun, baru-baru ini pelbagai tuduhan mendakwa Anwar telah mengabaikan kebajikan kaum India sedangkan semua sedia maklum PM telah pun menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan isu-isu membelenggu masyarakat India dapat diselesaikan.

Lebih teruk segelintir pihak menuduh beliau hanya memberi perhatian terhadap kaum Cina sehingga mengabaikan kaum India yang setia menyokong selama ini.

Punca Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) secara rasmi diterima sebagai anggota penuh Perikatan Nasional (PN) juga turut dikaitkan dengan perkara tersebut.

Fitnah yang keterlaluan itu dicipta untuk kepentingan sendiri dan dilihat sebagai gerakan yang sengaja mahu mengapi-apikan keharmonian kaum yang selama ini penuh dengan keamanan.

Sebelum ini, Anwar menyangkal tuduhan tersebut malah menegaskan tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan masyarakat India sejak beliau menerajui jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.

Tidak adil jika mengatakan beliau memilih ‘bulu’ dan tidak melakukan sebarang usaha untuk menyelesaikan masalah kaum tersebut sedangkan beberapa program sedang dirangka untuk kaum itu.

“Penyelesaian masalah kaum India bukan sahaja melalui Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), selain itu, kita juga ada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di mana kita memperuntukkan RM30 juta hanya untuk kaum India (usahawan mikro).

“Ada juga Amanah Ikhtiar Malaysia, yang saya tubuhkan beberapa dekad lalu untuk orang Melayu yang sangat miskin, tetapi sekarang pada 2024, kita ada RM50 juta hanya untuk menampung keluarga India.

“Ia juga termasuk pembaikan infrastruktur asas kebersihan di sekolah Tamil. Jika saya tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat India, anda berhak ‘menikam’ saya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar dan sambutan ulang tahun kelahiran ke-133 Dr Ambedkar yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas