Berita

“Sumber rezeki tertutup” – Norlia Ghani akui hidup perit

- Diterbit 4 April 2021 4:00 AM MYT

PELAKON veteran popular Norlia Ghani, 72, mengaku penularan pandemik COVID-19 sangat mencabar kehidupannya.

Tawaran lakonan yang diberikan juga membataskan dirinya yang sudah berusia apatah lagi apabila melibatkan rentas negeri.

“Dalam keadaan sekarang, kami turut terkesan dengan COVID-19 dari awal pandemik sehinggalah sekarang.

“Saya akui hidup agak teruk. Bercakap pasal lakonan, dengan usia sekarang tidaklah selaris bakat-bakat muda. Jadi tawaran itu kurang.

“Dalam tempoh tersebut, saya merasakan keperitannya kerana sumber rezeki tertutup. Kalau ada tawaran pun agak terbatas kerana ketika itu agak sukar untuk keluar kawasan.

“Saya faham SOP yang ditetapkan adalah untuk kebaikan semua, lebih-lebih lagi saya yang sudah lanjut usia,” ujar Norlia yang berterima kasih kepada Karyawan dan Aeon kerana sudi membekalkan barangan dapur selama enam bulan bermula Februari lalu.

“Alhamdulillah.. dalam tempoh tersebut, Karyawan dan Aeon sudi membantu saya dari segi barangan dapur.

“Bantuan ini amat berharga buat saya kerana keadaan sekarang memang sukar.

“Sekarang kes COVID-19 sudah banyak berkurang, jadi banyak kelonggaran untuk meneruskan lakonan dengan mematuhi SOP.

“Ada rakan-rakan lain berniaga online, saya ni tak pandai online. Itu mungkin menyebabkan saya sudah sikit berbanding yang lain,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas