Berita

Karyawan, AEON bantu 500 penggiat seni

Freddie Fernandez prihatin terhadap penggiat seni yang hidup susah
- Diterbit 3 April 2021 10:00 PM MYT

PENGGIAT seni antara golongan yang cukup terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak setahun yang lalu.

Mungkin sesetengah pelakon dan krew sudah boleh menghembuskan nafas lega kerana aktiviti penggambaran boleh diteruskan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Namun, penyanyi dan pemuzik agak terbatas dalam mencari rezeki kerana acara persembahan secara terbuka dan melibatkan penjualan tiket belum boleh diteruskan.

Situasi ini sudah cukup membuktikan bahawa golongan penggiat seni juga seperti masyarakat lain turut terkesan dengan pandemik ini, malah ada yang lebih sukar kehidupannya.

Melihat situasi sukar yang semakin serius ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mengaku turut membantu artis susah dengan mengeluarkan dana sendiri.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, hasrat Karyawan mahu terus membantu para penggiat seni menjadi kenyataan apabila pihak Yayasan AEON Malaysia menyatakan hasrat untuk membantu penggiat seni atau ahli Karyawan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

“Berusaha bantu artis susah”- Freddie Fernandez

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez mengaku tidak pernah berdiam diri dalam membantu para penggiat semi yang berada dalam kesempitan hidup.

PRESIDEN Karyawan, Freddie Fernandez prihatin terhadap penggiat seni yang hidup susah

“Ramai yang menghubungi saya meluahkan kesusahan mereka. Ada waktunya saya mengeluarkan dana sendiri untuk membantu mereka setakat yang saya mampu.

“Apa-apa pun, Karyawan tidak pernah berdiam diri dan sentiasa berusaha membantu artis dan penggiat seni yang susah,” luah Freddie yang berasa bertuah dengan bantuan yang diberikan oleh pihak Yayasan AEON Malaysia.

“Bukan Karyawan yang minta tapi pihak AEON yang datang tanya, itu yang saya terharu kerana bukan tunggu kita minta tapi mereka datang tanya, macam mana mereka boleh bantu.

“Dari Januari, kita mula berbincang. Mula hantar bantuan pada Februari sampai Ogos.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti kira-kira 500 orang penggiat seni dalam kalangan pemuzik, buskers, artis veteran dan termasuklah pekerja belakang tabir,” katanya ketika ditemui pada majlis Dari Hati ke Hati Bersama Penggiat Seni Tempatan di Taman Tun Dr. Ismail, pada 29 Mac lalu.

Tambah Freddie, setiap penerima akan diberikan barangan keperluan asas seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain selama enam bulan.

PELAKON veteran Norlia Ghani antara penerima bantuan

Antara penerima yang hadir pada majlis itu ialah Norlia Ghani, S.Rohani, Ruzilan Omar (pemain dram kumpulan Sons Of Adam), Asheed (vokalis Def-Gab-C) dan Bob Buskers.

“Penerima sumbangan daripada Yayasan AEON ini kita utamakan mengikut keperluan mereka. Dalam tempoh enam bulan itu, dianggarkan 3,000 paket barang akan diberikan kepada penerima dan nilainya lebih kurang setengah juta ringgit.

“Ini adalah CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) kali ketiga yang Karyawan lakukan. Sebelum ini kita pernah buat dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dengan nilai sumbangan sebanyak RM10,000 serta FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Yasmin Ahmad Mercan berkata, projek Bersama AEON diwujudkan untuk membantu keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terutamanya dari industri hiburan, perhotelan dan penerbangan.

Katanya, menerusi projek itu kira-kira 3,000 buah keluarga dari tiga industri tersebut akan menerima sumbangan barangan keperluan dapur sepanjang tempoh dua hingga enam bulan.

“Sebagai sebuah Yayasan, kami akan meneruskan lagi program-program yang bersesuaian dengan objektif komuniti kami. Insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik dan berazam untuk memberi lebih banyak sumbangan pada tahun ini dan tahun hadapan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Yayasan AEON Malaysia, merupakan badan kebajikan di bawah kelolaan Kumpulan Syarikat AEON di Malaysia. Pada 2004, AEON merupakan syarikat peruncitan yang pertama di Malaysia yang mempunyai badan kebajikan sendiri.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas