Utama

SUKMA 2022: Bola jaring WiPers mara separuh akhir

PASUKAN Wilayah Persekutuan (merah) ketika menentang pasukan Perak di peringkat suku akhir pada SUKMA XX MSN, pagi ini.
- Diterbit 22 September 2022 5:37 AM MYT

SKUAD bola jaring Wilayah Persekutuan (WiPers) mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas merekodkan kemenangan ke atas pasukan Perak, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, Wilayah Persekutuan melakar kemenangan dengan keputusan 66-42.

Jurulatih pasukan Wilayah Persekutuan, Norizan Rajab berkata perlawanan pagi ini agak menarik di mana Perak menunjukkan permainan agresif.

“Kita berjaya mengekang pergerakan mereka dari kuarter pertama dan meletakkan jurang mata yang agak selesa.

“Di bahagian attacking dan shooting juga memainkan peranan sebaiknya sehingga berjaya menghadiahkan kemenangan,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku.

Berkongsi persiapan bagi menghadapi separuh akhir, Norizan berkata sama ada bertemu Negeri Sembilan atau Selangor, terdapat perbezaan dari segi taktikal memandangkan setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Dari segi percaturan pemain pula akan berlaku perubahan setiap kali permainan kerana kita perlu lihat juga kekuatan pasukan lawan,” ujarnya yang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan skuad kendaliannya.

Tambahnya, meskipun beberapa pemain mengalami kecederaan namun mereka masih mampu memberi persaingan di setiap perlawanan.

“Kami mengalami masalah kecederaan pemain yang tinggi di mana pemain-pemain nasional kami berhadapan kecederaan setelah Kejohanan Asia.

“Namun, kami dapat atasinya dengan bantuan perubatan dari tim WiPers. Terima kasih saya ucapkan,” katanya yang mengharapkan kejuaraan sebelum ini dapat dipertahankan.

Pasukan Wilayah Persekutuan akan berhadapan sama ada pasukan Negeri Sembilan atau Selangor di peringkat akhir esok. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas