Berita

DBKL teliti kawasan Bukit Bintang jadikan kawasan bebas kenderaan

- Diterbit 21 September 2022 3:18 PM MYT

SUSULAN kejayaan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada setiap Ahad bermula 28 Ogos lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti beberapa kawasan lain di ibu negara untuk dijadikan sebagai lokasi bebas kenderaan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias ​​berkata DBKL sedang mengkaji kawasan di sekitar Bukit Bintang yang dilihat berpotensi dijadikan kawasan bebas kenderaan

“Selepas Jalan TAR, kita bercadang untuk melaksanakannya di sekitar kawasan Hotel Federal kerana ia adalah lokasi tumpuan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, kita masih dalam sesi libat urus dengan pemegang taruh dan orang awam dan sekiranya berjaya, ia akan diumumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres CityNet ke-9 di ibu negara.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sementara itu, Mahadi berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk peniaga dan orang ramai mengenai program Jalan TAR Bebas Kenderaan yang dilaksanakan setiap Ahad.

“Oleh itu, kita merancang untuk membawa lebih banyak program dan aktiviti dengan content yang menarik untuk menjadikan tempat itu lebih meriah dan mampu menarik pengunjung datang ke kawasan itu.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, jadi kita perlu mendapatkan maklum balas orang ramai bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul selepas itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi berkata kongres CityNet yang ke-9 diadakan selama tiga hari bermula Rabu (21 September) hingga Jumaat 23 September yang disertai 230 peserta dari dalam dan luar negara.

“Kongres ini bertujuan mengadakan jaringan kerjasama antarabangsa di antara bandar-bandar di Asia Pasifik yang menganggotai CityNet dan ia membolehkan mereka dilatih melalui Pusat Latihan di bawah Citynet.

“Bagi latihan di bawah CityNet, kita mengetuai sektor infrastruktur bersama dengan Bandar raya Seoul.

“Terdapat beberapa program yang dihoskan oleh Kuala Lumpur dan ia dikendalikan oleh Pusat Latihan Serantau CityNet Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak,” katanya.

Kongres yang bertemakan ‘City for All: Activating Access for Urban Growth’ itu turut disertai 25 Datuk Bandar dari 15 negara antaranya Bangladesh, Filipina, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka selain Putrajaya, Seberang Perai dan Subang Jaya.

“Ia akan merangkumi pelbagai isu yang memerlukan perbincangan mendalam antaranya soal perubahan iklim, pengurusan bencana, perancangan infrastruktur dan Matlamat Pembangunan Mampan(SDG) sebagai usaha membangunkan bandar masa depan yang berdaya tahan, boleh didiami dan mampan sambil menambah baik keadaan bandar semasa.

“Kita juga akan membawa peserta melawat tiga lokasi di ibu kota iaitu Pusat Pertumbuhan Neutral Karbon Wangsa Maju, Kuala Lumpur SDG Centre dan Razak Mansion yang boleh dianggap sebagai kejayaan DBKL dalam mentadbir Kuala Lumpur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas