Berita

Tiada lubuk emas, semua acara berpotensi

ROSIDA (tengah,depan) bersama barisan atlet WiPers yang berjaya menyumbang pingat emas dan gangsa ketika sesi penyampaian pingat di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
- Diterbit 22 September 2022 10:04 AM MYT

KETUA Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers), Datuk Seri Rosida Jaafar memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh atlet WiPers terutama atlet baharu sepanjang berlangsungnya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN.

“Mereka (atlet) menunjukkan disiplin yang bagus serta menampilkan aksi yang terbaik dan diharapkan semangat seperti ini dapat diteruskan hingga ke penghujung yang tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi.

“Sepertimana saya juga selalu berpesan kepada atlet, setiap daripada mereka perlu sentiasa berjuang habis-habisan dan bersemangat kerana semua orang berpotensi untuk menyumbangkan pingat.

“Terus berjuang. Jangan gentar kerana kita ada banyak lagi acara yang kita boleh menang. Tiada lubuk emas bagi mana-mana acara kerana semuanya berpotensi,” ujar beliau ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Rosida turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila atlet baharu dan bukan datang dari atlet prospek WiPers namun mereka turut berjaya menyumbangkan pingat kepada kontinjen.

“Sebagai contoh, emas pertama WiPers berjaya dirangkul menerusi acara olahraga 5,000meter lumba jalan kaki wanita menerusi atlet Kok Hui Ying. Ia satu yang hebat lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama penglibatannya di pentas SUKMA,” ujar beliau.

Terdahulu, Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 membuka tirai secara rasminya pada Sabtu lalu dengan sambutan penuh kemeriahan dalam Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia XX MSN yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia membabitkan sebanyak 426 acara iaitu 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan dipertandingkan dengan penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai membabitkan 15 kontinjen negeri termasuk Brunei. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas