Berita

Sukarelawan warga emas diperlukan untuk kajian vaksin COVID-19

5 Mac -- Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang disuntik menggunakan picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) ketika tinjauan media di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 hari ini.
- Diterbit 11 Februari 2021 12:52 PM MYT

WARGA emas berusia 60 tahun ke atas diperlukan sebagai sukarelawan bagi menyertai kajian klinikal fasa 3 vaksin COVID-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi akaun media sosial rasmi Facebook dan Twitter, memaklumkan sekitar 350 hingga 450 warga emas diperlukan bagi kajian itu yang akan turut menguji keberkesanan serta keselamatan vaksin bagi golongan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan sukarelawan warga emas yang berminat untuk menyumbang dalam pembangunan vaksin COVID-19,” menurut hantaran itu.

KKM memaklumkan individu yang berminat boleh menghubungi sembilan hospital yang terlibat iaitu Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultan Abdul Halim.

KKM turut memaklumkan kajian ini merupakan kerjasama Institut Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan pihaknya.

Menerusi hantaran sama, KKM berkata 8,162 individu berusia 18 tahun ke atas telah menghubungi sembilan hospital berkenaan untuk menjadi sukarelawan dalam percubaan klinikal itu, setakat Selasa lepas.

“Seramai 1,512 sukarelawan atau 50 peratus telah bersetuju untuk menyertai kajian ini, manakala 38 peratus sukarelawan telah menerima dos pertama vaksin kajian atau plasebo,” menurut hantaran itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas