Berita

KBS tambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi

- Diterbit 11 Februari 2021 12:55 PM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi sebagai panduan serta pematuhan susulan kelonggaran diberikan kepada sektor berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan lima protokol am terhadap aspek individu, pengurusan, latihan, prapenganjuran dan penganjuran selaras pengumuman kerajaan membenarkan beberapa sektor sukan dan rekreasi untuk kembali beroperasi berkuat kuasa esok.

Protokol tersebut turut menjadi panduan buat pasukan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Liga Sepak Takraw (STL) yang dibenarkan memulakan sesi latihan pada 15 Feb dengan pendekatan gelembung sukan.

“KBS berharap semua penggiat sukan akan mematuhi tatacara dan SOP yang dikuatkuasakan pada setiap masa agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung dan aktiviti sukan dan rekreasi dapat dilaksana dengan baik dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai SOP sektor sukan dan rekreasi boleh didapati di pautan www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi atau menghubungi Bilik Gerakan SOP Sektor Sukan dan Rekreasi melalui talian 03-88713585 /3246.

Pada masa sama, KBS menegaskan sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi melibatkan sentuhan masih tidak dibenarkan.

Sementara itu, KBS turut optimis meneruskan usaha mereka membuka semula sektor sukan dan rekreasi dalam fasa seterusnya bagi membolehkan ekosistem sektor berkenaan beroperasi berlandaskan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan aktiviti jogging dan brisk walking, berbasikal dan senaman terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja manakala tenis, badminton dan ping pong melibatkan acara perseorangan sahaja, dan permotoran (dua roda dan empat roda).

Aktiviti lain dibenarkan ialah aktiviti kemahiran kendiri sukan berpasukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw tanpa melibatkan sentuhan fizikal. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas