Berita

Inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga dilancar GPMSWP

||INFO : Panduan tatacara menyumbang ke Tabung Bantuan Khas GPMSWP
- Diterbit 11 Februari 2021 12:44 PM MYT

USAHA murni digerak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP), melancarkan tabung kutipan sumbangan untuk inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga, dianggap bertepatan
keperluan semasa khususnya mudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Dengan objektif membantu pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya anak keluarga B40 di Wilayah Persekutuan memiliki peranti sendiri, menjadi aspirasi GPMSWP dengan sasaran untuk mengagihkan kira-kira 300 unit tablet sepanjang Februari ini.

Pengerusinya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, inisiatif itu muncul selepas pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan berhubung kemampuan keluarga masing-masing membeli gajet untuk kegunaan PdPR.

Beliau berkata, menyedari kekangan dihadapi itu, GPMSWP tampil melaksanakan inisiatif 1 Tablet 1 keluarga dengan sasaran menyantuni seramai mungkin pelajar di Wilayah Persekutuan yang kini berhadapan isu PdPR tanpa tablet.

“Pada permulaan, sasaran kami meliputi seluruh parlimen di Wilayah Persekutuan memfokuskan anak-anak golongan B40 memiliki tablet sendiri seterusnya memudahkan sesi pembelajaran.

‘Bagi serahan sumbangan tablet fasa pertama ini, GPMSWP bekerjasama dengan pihak Persatuan Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak di Bandar Baru Sentul serta MPPWP Zon Parlimen Batu bagi penyerahan tablet di kawasan Batu.

“Seramai 10 pelajar memerlukan sudah dikenal pasti menerima sumbangan tablet fasa pertama di Parlimen Batu dengan kerjasama Persatuan Penduduk PA Seri Perak dan pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tablet Kepada 10 Pelajar di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPPWP Parlimen Batu, Gulam Muszafar Gulam Mustakim yang telah pun bersama menyaksikan sesi menandatangani satu perjanjian antara kedua belah pihak terbabit.

Mengulas lanjut, Khairul Rizam berkata, jalinan dibentuk melalui Memorandum Kerjasama bakal mengukuhkan lagi inisatif 1 Tablet 1 Keluarga di Parlimen Batu.

“Dengan termeterai Memorandum Kerjasama ini antara GPMSWP dengan Persatuan Penduduk PA Seri Perak Bandar Baru Sentul, bagi mewujudkan sokongan kepada pelajar dalam penggunaan dan bantuan data internet.

“Pada kesempatan ini, GPMSWP berterima kasih kepada semua penyumbang tabung pendidikan dan kami sentiasa alukan sumbangan daripada mana-mana individu atau syarikat bagi bersama memastikan inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga ini dapat diperluas dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Bagi pihak yang berminat menyumbang, boleh melakukannya dengan mengikuti panduan tata cara menyumbang seperti di bawah. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

INFO : Panduan tatacara menyumbang ke Tabung Bantuan Khas GPMSWP
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas