Berita

Subsidi Bersasar Tepat, Bantu Reformasi Fiskal Negara – Pakar Ekonomi

Foto kredit: Bernama
- Diterbit 12 Oktober 2023 4:00 AM MYT

HASRAT kerajaan untuk memperkenalkan sistem subsidi bersasar pada 2024 dilihat sebagai bertepatan bagi meringankan beban fiskal yang ditanggung selain mengukuhkan kedudukan kewangan ekonomi negara, kata pakar ekonomi

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini berikutan Malaysia adalah antara negara tertinggi dari segi pemberian subsidi, terutama produk petroleum.

“Mungkin kerajaan perlu melaksanakannya secara beransur-ansur dan berkala tetapi harus konsisten. Ini bagi memastikan jumlah subsidi dapat dikurangkan dengan kesannya terhadap inflasi dapat diminimumkan.

“Hakikatnya, memang sukar ditentukan dari segi masa. (Namun) bagi saya, langkah ini perlu dilaksakan secepat mungkin. Aspek komunikasi kepada rakyat serta penambahan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu dilaksanakan secara serentak supaya dapat memberi kesan minimum,” katanya kepada Bernama.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), perbelanjaan subsidi berjumlah RM55.4 bilion pada 2022, termasuk subsidi produk petroleum RM45.2 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah tersebut.

Sistem Apungan Harga Terkawal Bantu Kurangkan Subsidi

Mohd Afzanizam berkata pengurangan subsidi produk petroleum adalah perlu, terutama apabila ini hanya menguntungkan golongan berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, subsidi bersasar mampu mengekang berlakunya ketirisan produk petroleum seperti aktiviti penyeludupan ke luar negara selain mengelak minyak bersubsidi digunakan oleh warga asing.

“Sistem apungan harga terkawal pernah dilaksanakan bagi produk petroleum RON95 dan diesel pada 2014 yang berjaya mengurangkan jumlah subsidi.

“Mungkin mekanisme ini boleh digunakan semula bagi memastikan bantuan kerajaan lebih bersasar dengan penjimatan subsidi berkenaan disalurkan bagi program seperti STR dan perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Pada 2014, kerajaan membelanjakan sejumlah RM39.7 bilion untuk keseluruhan subsidi dan peruntukan subsidi terus mencatat trend menurun selepas pelaksanaan sistem apungan harga terkawal yang menyaksikan jumlah subsidi pada 2015 adalah RM27.3 bilion, RM24.7 bilion (2016) dan RM22.4 bilion (2017).

Harga Minyak Mentah Dunia Kekal Tinggi

Menurut LKAN, subsidi produk petroleum telah meningkat ke paras RM45.2 bilion pada 2022 berbanding RM10.0 bilion pada 2021.

Pecahan subsidi tersebut menunjukkan subsidi bagi RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) masing-masing berjumlah RM23.1 bilion, RM18.7 bilion dan RM3.4 bilion pada 2022 berbanding RM4.5 bilion, RM2.9 bilion dan RM2.7 bilion pada 2021.

Ini berikutan purata harga minyak mentah dunia mencecah paras US$100 setong pada 2022 berbanding US$71 setong pada 2021.

“Justeru, peruntukan subsidi produk petroleum akan terus meningkat sekiranya harga minyak mentah dunia kekal tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Reformasi Subsidi Galak Penggunaan EV

Malaysia telah menetapkan sasaran kehadiran sebanyak 100,000 kenderaan elektrik (EV) di jalan raya menjelang 2030 dengan 50,000 daripadanya adalah EV komersial.

Bagi menyokong penembusan EV di Malaysia, kerajaan turut mengumumkan pengecualian bayaran cukai bagi EV sehingga 31 Dis, 2025.

“Sememangnya subsidi bersasar akan memberi kesan kepada belanjawan peribadi golongan berpendapatan tinggi atau T20. Namun, negara kita dalam fasa perubahan ke arah tenaga boleh baharu, termasuk penggunaan EV.

“Oleh itu, reformasi subsidi boleh menjadi titik tolak bagi menggalakkan lagi penggunaan EV,” kata Mohd Afzanizam.

Tindakan itu juga, katanya, akan membantu dalam merealisasikan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas