Berita

PM Thailand Akhiri Lawatan Kerja Ke Malaysia

Foto kredit: Bernama
- Diterbit 12 Oktober 2023 3:53 AM MYT

PERDANA Menteri Thailand Srettha Thavisin berlepas ke Singapura selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Malaysia hari ini.

Srettha melintasi barisan kawalan kehormat statik oleh 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Raja Azri Syahir Raja Mohd Zulkifli di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 9 pagi sebelum menaiki pesawat khas.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Srettha tiba di negara ini semalam untuk lawatan sulung selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 5 Sept lepas.

Semasa di Malaysia, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala.- BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas