Berita

Stoking kalimah Allah: Jangan ambil tindakan sendiri – KPN

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Mac 2024 5:35 PM MYT

KETUA Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang berhubung kes stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata semua pihak perlu mematuhi undang-undang negara ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas dan tidak bertindak mengikut perasaan.

“Beri peluang pada kita (polis), tidak perlu lagi ada yang tidak berpuas hati dengan mengambil tindakan sendiri untuk membakar atau membaling molotov cocktail kepada KK Mart…tak perlu.

“Malaysia ada undang-undang, jadi kita perlu patuh pada undang-undang,” katanya berhubung satu kejadian molotov cocktail dilempar ke sebuah kedai serbaneka KK Mart di Bidor.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, pihak polis sentiasa memantau media sosial agar isu perkauman tidak lagi dimainkan.

Terdahulu, Razarudin memakaikan lencana pangkat CP kepada Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Rusdi menggantikan Datuk Allaudeen Abdul Majid yang bersara wajib hari ini setelah berkhidmat selama 38 tahun sembilan bulan sejak 1 Julai 1985. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas