Artikel

SIARAN LANSUNG

- Diterbit 16 Januari 2021 1:05 AM MYT

Kuketik nama aplikasi yang telah menjadi resmi
Kuklik ‘bersiaran’ berdesup diri ini masuk ke ruangan terbuka
Buat sesiapa sahaja yang sudi,
Yang mahu melihatku

Seketika sahaja aku
Bersama bot-bot aplikasi
Yang sebenarnya penuh dengan penagih yang misteri dan bersiri

‘Encik Misteri Bersiri menyertai …’
Siapakah itu?

Yang masuk menyapa ceria
Bertanyakan namaku siapa
Umurku berapa
Berasal dari mana, tinggal di mana
Dan baru lepas makan apa

Ada juga yang masuk secara biadab
Melontarkan caci maki yang tidak kumengerti
Mungkin itu saki baki sakit hatinya
Daripada pergaduhan dengan kekasihnya semalam
Atau kemungkinan dia hanya lapar perut dan lapar perhatian

Buat yang masuk diam,
dan meninggalkanku juga secara diam
Sungguh sayang, tak sempat aku mengenali kalian
Menjadi asing dan terasing itu lumrah kehidupan

Berpuluh insan yang menyapaku
Berpuluh insan yang mencaci
dan setelah berpuluh yang diam dan pergi
Dah tiba masanya aku mengakhiri siaran

Kututup aplikasi, lalu aku …
bertemankan aku, sendirian.

A’ishah K

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas