Artikel

Berusaha perbaiki ekonomi sendiri

OKU NIAGA
KURANG upaya bukan bermaksud, perlu menangisi takdir tetapi individu tersebut perlu lebih bersemangat seperti Mohd Nor Abdullah yang berusaha perbaiki ekonomi dirinya sendiri. KURANG upaya bukan bermaksud, perlu menangisi takdir tetapi individu tersebut perlu lebih bersemangat seperti Mohd Nor Abdullah yang berusaha perbaiki ekonomi dirinya sendiri.
- Diterbit 13 Februari 2021 10:24 AM MYT

“Namun bagi Adi, golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur bernasib baik kerana sentiasa diberi perhatian oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang diterajui oleh Tan Sri TPr Annuar Musa. Pelbagai bentuk bantuan diberi bagi meringankan beban mereka

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilakasanakan sejak tahun lalu memberi kesan tidak menggembirakan di kalangan penduduk berpendapatan rendah atau B40 dan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur.

Berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Disember tahun lalu, pengangguran dalam kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah meningkat sekali ganda sejak pelaksanaan PKP dan PKPB tahun lalu.

Kajian menunjukkan kedudukan sosioeknomi bagi kira-kira separuh daripada jumlah isi rumah terus merosot. Pengangguran dalam kalangan ketua keluarga meningkat daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus Disember lalu.

Adi difahamkan laporan itu juga mendapati kadar kemiskinan dalam kalangan semua keluarga kekal tinggi pada 42 peratus sekalipun mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan untuk meringankan beban mereka. Data-data kajian ini pastinya tidak menyeronokkan. Tetapi itulah realiti yang menimpa kelompok miskin bandar di Kuala Lumpur sepanjang tempoh PKP dan PKPB dan kemungkinannya juga di negeri-negeri lain.

Bukan rahsia pandemik COVID-19 telah mendatangkan kesan serius terhadap tahap kesihatan rakyat negara ini. Jumlah jangkitan masih tinggi sementara kapasiti hospital juga semakin kritikal. Dalam usaha mengekang pandemik, PKP dan PKPB dikuatkuasakan.

Penguatkuasaannya menyebabkan sektor ekonomi terjejas teruk. Banyak sektor perniagaan ditutup sementara menunggu keadaan pulih, atau ada yang gulung tikar terus. Akibatnya ramai hilang kerja dan sumber pendapatan.

Keadaan inilah yang menyebabkan jumlah mereka yang menganggur dalam kalangan B40 khususnya bertambah. Dalam kegawatan COVID-19 dan kesuraman ekonomi sekarang, peluang mencari pekerjaan memang sukar.

Namun bagi Adi, golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur bernasib baik kerana sentiasa diberi perhatian oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang diterajui oleh Tan Sri TPr Annuar Musa. Pelbagai bentuk bantuan diberi bagi meringankan beban mereka.

Walaupun kajian PBB itu menyebut ramai masih dalam kemiskinan dan kesukaran hidup sekali pun diberi bantuan, sekurang-kurangnya bantuan yang diberi meredakan keluh kesah yang mereka hadapi pada waktu sukar ini.

Sebelum ini atas inisiatif Annuar, KWP menyediakan lebih 1,000 kios di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk memberi peluang kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19 memulakan kehidupan baharu sebagai peniaga.

Selepas itu program ‘Wilayah Bebas Berniaga’ pula dilaksanakan mulai November tahun 2020 hingga April ini, juga menggalakkan orang ramai berniaga.

Mereka boleh mendirikan gerai atau warung di tapak yang disukai asalkan tidak mengganggu pergerakan orang ramai atau kawasan parkir, serta menjaga kebersihan.

Bukan sekadar itu, pelbagai bentuk bantuan yang lebih spesifik dan berfokus turut diberikan selaras dengan slogan ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’.

Kesemua ini terkandung dalam Program Kemiskinan Bandar 5MY untuk membantu kelangsungan hidup warga kota, khususnya golongan B40.

Program inklusif ini merangkumi MYJob@ Wilayah, MYGrocer@ Wilayah, MYSchoolbus@ Wilayah, MYMedic@Wilayah, dan MYFood@Wilayah yang kesemuanya bertujuan membantu menangani kos hidup tinggi serta membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan. Selain itu program MYBeras@Wilayah juga telah dilancarkan.

Sesuai dengan namanya, inisiatif ini adalah menyediakan peluang pekerjaan, penjualan barang keperluan harian dan basah pada harga diskaun, bas sekola percuma, perkhidmatan kesihatan asas percuma, bantuan makanan percuma dan juga bantuan beras percuma.

Adi sangat gembira kerana dengan pelbagai program ini, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur menerima bantuan langsung sepanjang tahun 2020.

Ini belum termasuk bantuan yang diberi oleh kerajaan pusat, misalnya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sert bantuan one-off untuk golongan sasar seperti pemandu teksi, pemandu e-hailing juga penghantar makanan. Adi menyedari masalah kehilangan kerja dan tiada sumber pendapatan dalam kalangan golongan miskin bandar ini tidak dapat diatasi dalam masa singkat.

Namun segala bantuan yang diberi diharap akan menjadi ‘penawar’ sehingga masalah mampu diatasi sepenuhnya. Adi juga percaya masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh golongan B40 malahan mereka yang dalam kategori atasan pun ramai yang hilang kerja dan terputus sumber pendapatan.

Mereka ini juga terpaksa melalui detik sukar menampung hidup. Malah ada yang pernah berjawatan tinggi kini menjadi pemandu e-hailing demi memastikan kelangsungan hidup diri dan keluarga. Oleh itu bagi Adi, kelompok B40 khususnya di Kuala Lumpur seharusnya bersyukur dengan segala bantuan diberi.

Namun sementara kerajaan sentiasa prihatin dan memberi bantuan, mereka juga wajar berusaha memperbaiki ekonomi dengan menjana pendapatan sendiri. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Rajin dan usaha tangga kejayaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas