SHWP 2020 tekan elemen perpaduan, kesejahteraan
KHALID berucap semasa hadir memeriahkan Konsert Sayangi Wilayahku sempena SHWP 2020 di Dataran Merdeka.

SHWP 2020 tekan elemen perpaduan, kesejahteraan

KUALA LUMPUR – Penganjuran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) ini akan terus memberi penekanan kepada pengisian program yang berelemen perpaduan dan kesejahteraan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, penganjuran program bekenaan bertujuan menyemarakkan semangat, rasa sayang serta sokongan rakyat Wilayah Persekutuan terhadap inisiatif kerajaan yang dikenali sebagai Inisiatif Wilayah Peduli.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini membuktikan komitmen dan kesungguhan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta agensi dalam membantu golongan B40 yang memberi penekanan kepada aspek pembangunan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Antara program yang diwujudkan adalah van wilayah, bas GOKL dengan laluan perkhidmatan first mile dan last mile percuma.

“Selain itu, antara inisiatif adalah pelaksanaan Smart City oleh Plan Malaysia dan penubuhan Majlis Negara Taman yang diselaraskan oleh Jabatan Landskap Negara,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka semalam.

Hadir sama, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Pengarah Plan Malaysia, Datuk Mohd. Anuar Maidin dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Mengulas lanjut Khalid memberitahu, pihaknya juga sedang mempersiapkan van medik yang dapat memberikan rawatan percuma untuk kegunaan warga Wilayah Persekutuan namun tidak memperincikan lebih lanjut mengenainya.

“Pencapaian dan kejayaan yang dinikmati warga Wilayah Persekutuan melalui penawaran peluang pekerjaan di bawah Inisiatif Peluang Pekerjaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pemansuhan budaya orang tengah di pasar malam dan bazaar Ramadan.

“Selain itu pembangunan perumahan untuk rakyat, transformasi Halal Hub Labuan dan pelbagai lagi kejayaan dan pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, tahun ini merupakan tahun yang istimewa untuk Kuala Lumpur khasnya kerana menyambut tiga acara khas bertaraf dunia iaitu Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) dan Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

“Untuk mengacarakan tiga acara besar ini, pihak DBKL diminta berbelanja lebih sedikit bagi mengindah dan membersihkan bandar raya di samping menyediakan peluang pekerjaan untuk warga wilayah. – WILAYAHKU

CATEGORIES