Berita

Komited jaga kebajikan, tingkat taraf hidup rakyat – Khalid

KHALID ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 3 Februari 2020 1:20 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan kekal komited dalam menjaga kebajikan, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat di Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, melalui program kebajikan Wilayah Persekutuan yang direncanakan dengan komprehensif, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan juga akan terus komited menceriakan kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Projek pengindahan lorong belakang (laneways) berjaya menghidupkan semula lorong-lorong belakang yang sering kali dilupakan dalam kehidupan seharian.

“Kawasan tersebut kini menjadi antara daya tarikan utama pelancongan di Kuala Lumpur,” kata beliau ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2020 di Istana Melawati di sini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan istiadat tersebut.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, bagi memberi keselesaan kepada penduduk, Residensi Wilayah ditambah baik meliputi keluasan minimum rumah, kemudahan guna sama dan kualiti binaan.

Selain itu, kata beliau, kementerian juga merancang untuk menyediakan perumahan mampu milik di bawah harga RM150,000 seunit.

Tambahnya, projek Perumahan Bandar (mico-housing) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk golongan B40 yang berstatus bujang dan baru pertama kali bekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah mula beroperasi.

“Sesungguhnya, patik sedar akan tanggungjawab besar yang perlu digalas dalam memastikan imej dan kualiti ketiga-tiga wilayah ini dapat terus dipertingkat secara holistik dari semasa ke semasa untuk dijadikan penanda aras bagi bandar-bandar lain di Malaysia dan juga menjadi saingan di peringkat global.

“Justeru patik amat bersyukur dengan pencapaian dan perancangan agensi-agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Dalam hal ini, Khalid berkata, kementeriannya telah menyasarkan penggunaan penuh 100 produk biodegradasi pada tahun 2022 selaras dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030.

Jelas beliau, kementerian melalui DBKL telah memaksimumkan penglibatan Ahli Parlimen pilihan rakyat dalam membuat keputusan dan dasar, melalui pembentukan Majlis Menteri sebagai menambah baik kualiti perkhidmatan dan pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, katanya, 2020 merupakan tahun yang sangat bersejarah bagi Putrajaya yang akan menyambut Jubli Perak Putrajaya pada 29 Ogos 2020.

“Selain anugerah dan pengiktirafan yang dirangkul, bandar pentadbiran ini menjadi model pembangunan dan model pentadbiran bandar raya oleh negara-negara asing serata dunia.

“Putrajaya sedang membangun sebagai Smart City melalui pelancaran ‘Malaysian First Smart City Blueprint’, First 5G Conference, Putrajaya Command Centre yang canggih, Building Information Modeling (BIM) dan Sistem Pusat Sehenti Pertama di Malaysia atau OSC 3.0,” katanya.

Sementara itu, kata Khalid, Wilayah Persekutuan Labuan pula berazam untuk memulakan empat projek besar bermula tahun ini, melibatkan kos sebanyak RM1.11 bilion bagi peningkatan ekonomi pulau tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas