Selebriti

Shiha Zikir pilih Aizat Saha

- Diterbit 10 April 2024 10:00 AM MYT

PENAMPILAN selebriti media sosial  yang semakin popular, Aizat Saha dalam video muzik Meriahnya Raya nyanyian Shiha Zikir mendapat perhatian ramai dan tular dalam kalangan netizen.

Apatah lagi, para peminat tertunggu-tunggu siapalah kelibat yang bakal bersama Shiha akhirnya terjawab. Sebelum ini Shiha pernah bekerjasama dengan Jaa Suzuran.

Rata-rata netizen memuji strategi Shiha menampilkan Aizat yang juga dikenali sebagai Abang POV (point of view).

“Sebab pertama saya pilih Aizat untuk berlakon dalam video muzik raya ini kerana kami memang berkawan rapat.

“Selain itu, video muzik Meriahnya Raya ini ada konsep POV, di mana Aizat dikenali sebagai Abang POV jika tonton video-videonya dalam media sosial.

“Bukan itu sahaja, Aizat pun sedang hot dan cukup disukai ramai dalam media sosial. Jadi dengan adanya Aizat, diharap penonton lebih seronok. Apa yang penting mereka gembira,” katanya.

Shiha juga mengaku sikap yang baik dan merendah diri yang ada pada Aizat sangat membuatkan dirinya teruja untuk bekerjasama.

“Di samping itu, Aizat juga seorang yang senang memberikan kerjasama, merendah diri, perangai baik. Saya suka orang yang baik dan selalu positif ni. Tak ada nak berlagak,” jelasnya.

Lagu Meriahnya Raya ini adalah ciptaan Shiha, Arul dan Zimi Sofazr.

Ini adalah lagu raya ketiga Shiha selepas Moh Beraya nyanyian bersama Datuk Jamal Abdillah dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum ini Shiha juga pernah berduet dengan kakaknya Idea Zikir menerusi lagi raya berjudul  Jom Balik Raya.

“Lagu Meriahnya Raya ini mengisahkan tentang perbezaan raya dahulu dan sekarang. Jadi dalam lagu tu peminat boleh rasa bagaimana suasana hari raya dulu- dulu. Misalnya dulu tak ada media sosial.

“Apabila ditanya perbezaan lagu Meriahnya Raya ini sangat fun dan lebih easy listening. Shiha nak ada feel gelak ketawa dan vibes kumpulan Senario dulu.

“Lagu sebelum ini easy listening juga, tetapi lebih serius. Saya yakin ramai yang rindu suasana raya dulu-dulu selepas mendengar lagu Meriahnya Raya,” ujarnya yang kini mengusahakan bisnes menjual nasi ayam Hainan yang diberi nama Shiha Zikir Nasi Ayam di Kampung Baru, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas