Selebriti

“Rupa-rupanya ada orang lebih susah” – Nabil

- Diterbit 9 April 2024 11:00 AM MYT

PENGACARA, penyampai radio dan pelakon terkenal Nabil Ahmad meluahkan rasa insaf dan syukurnya apabila menjadi sebahagian team yang membantu nasib ibu empat beranak menjelang  Aidilfitri tidak lama lagi.

Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Lisa (bukan nama sebenar) mengakui sudah beberapa tahun menyambut kedatangan Aidilfitri tanpa dapat menyediakan kuih atau biskut raya di rumahnya.

Semua ini bermula gara-gara wanita tersebut membuat panggilan di Radio Era untuk mendapatkan baju raya.

“Topik yang kami bawakan ketika itu adalah ‘korang belum ada baju raya kenapa?’.  Jadi, apabila dia buat panggilan, segalanya diluahkan.

“Katanya, dia dan anak-anak belum ada baju raya lagi sebab  mereka baru pindah dari Kuala Lumpur ke Seremban.  Punca mereka pindah sebab nak kurangkan kos hidup yang tinggi di Kuala Lumpur.  Di Seremban rumah sewa lebih murah dan kos sara hidup masih okay.

“Suaminya pula berniaga di Bazar Ramadan dah ambil advance untuk baiki kereta yang rosak. Masa tu baju raya belum ada lagi.

“Apa yang sedihnya rumah dia tak pernah ada kuih raya. Sebelum ini mereka beraya tanpa kuih raya bersama anak empat orang.

“Bila saya fikir-fikir balik. Kita dah rasa susah dengan keadaan sekarang. Rupa-rupanya ada orang lebih susah,” katanya.

Demi merealisasikan impian keluarga tersebut, Nabil bersama team Era dan Jakel memberi senyuman baharu buat keluarga ini untuk menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, selepas panggilan itu, kami satu team nekad untuk membantu. Syukur segalanya dipermudah,” ujarnya yang bersama team Era membawa keluarga tersbe membeli baju raya, baru-baru ini.

Terdahulu, ujian hidup dihadapi Lisa mendapat perhatian ramai selepas menjadi pemanggil di 3 Pagi Era berkongsi masalah dan kesusahan dialaminya.

Hal itu menjadi tular di platform media sosial rasmi Era dan ramai pihak datang membantu Lisa, termasuk syarikat tekstil dan pakaian, Jakel, yang turut menaja pakaian raya untuk mereka sekeluarga.

Nabil dan keluarga mengenakan tema warna hijau mint  dan bakal pulang beraya di Rembau, Negeri Sembilan pada hari raya nanti.

Antara program raya yang dihoskan Nabil ialah  MeleTOP Raya, Gegar Vaganza Raya dan Berbasikal Raya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas