Berita

Sesi persekolahan pelajar Tingkatan 5, 6 di Labuan bermula pada 3 Okt

PEMBUKAAN semula sekolah di pulau ini akan dilakukan secara berperingkat. Gambar: Awani PEMBUKAAN semula sekolah di pulau ini akan dilakukan secara berperingkat. Gambar: Awani
- Diterbit 6 September 2021 5:08 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju untuk membuka semula sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan di sini, mulai 3 Okt depan dengan fasa pertama melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan jangkitan COVID-19 yang dapat dikawal.

“Memandangkan Labuan telah memasuki Fasa 4 PPN, sekolah-sekolah dapat dibuka kembali pada 3 Okt bagi Tingkatan 5 dan 6, dan pembukaan semula sekolah di pulau ini akan dilakukan secara berperingkat,” katanya pada sidang media setelah perjumpaan dengan guru besar sekolah dan pengetua di Labuan, bertempat di dewan konvensyen sebuah resort di sini, hari ini.

Katanya, fasa kedua sekolah akan dibuka semula melibatkan pelajar lain (murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah Tingkatan 1, 2, 3 dan 4) dengan kapasiti (kehadiran) 50 peratus akan dilakukan dalam tempoh dua minggu akan datang (selepas 3 Okt) melalui kaedah ‘flip Classroom’.

Radzi berkata KPM telah menerima input dan pandangan mengenai cadangan pembukaan semula sekolah dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan semalam (5 Sept), yang dianggotai oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari dan Pengerusinya Rithuan Ismail.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil sekolah termasuk pengetua dan guru besar serta wakil dari pelbagai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam satu slot libat urus untuk mendapatkan input dan persetujuan mereka bagi membuka semula sesi persekolahan.

“Sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, sekolah yang dibuka semula di seluruh negara akan mengambil kira fasa-fasa pemulihan di bawah PPN,” katanya.

Menurut Radzi pembukaan sesi persekolahan di Labuan itu juga sejajar dengan pembukaan semula sektor ekonomi di bawah Fasa 4 PPN.

“Kami mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum memutuskan sesi persekolahan dibuka semula di Labuan …pastinya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat … kita perlu memberi penekanan bahawa sekolah yang dibuka semula di sini adalah selamat,” katanya.

Radzi berkata sebelum 3 Okt depan, kemungkinan akan terdapat negeri lain yang beralih kepada Fasa 4 PPN dan membolehkan sekolah di negeri berkenaan dibuka semula. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas