Berita

12,021 bendera dipacakkan di tengah padang Dataran Merdeka

FORMASI logo Malaysia Prihatin digunakan sesuai dengan tema bagi menyerikan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
- Diterbit 6 September 2021 6:10 AM MYT

PERPADUAN merupakan elemen penting dalam memacu pembangunan bandaraya Kuala Lumpur dan ia turut dikenali sebagai imej bagi negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan kaum di ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan formasi logo Malaysia Prihatin bagi menyerikan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Zurida Hashim berkata, idea memacakkan bendera kecil yang terdiri daripada empat warna asas dari jalur gemilang merupakan cetusan idea Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah bagi memaparkan sisi penting Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

“Seperti yang kita sedia maklum, Kuala Lumpur merupakan pusat tumpuan pelbagai lapisan masyarakat dan ia turut dihuni oleh pelbagai kaum dan agama. Jadi ini jelas bahawa dengan elemen perpaduan sahaja Kuala Lumpur sentiasa berada di dalam suasana yang aman di mana semua kaum saling hormat menghormati.

“Oleh kerana kita mengahadapi pandemik COVID-19 ini bersama-sama, maka idea Bendera Perpaduan ini dizahirkan dengan tujuan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya warga kota,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Zurida formasi logo Malaysia Prihatin digunakan sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan kerana negara masih lagi belum bebas daripada wabak COVID-19.

“Formasi ini menggunakan kira-kira 12021 bendera yang terdiri daripada warna merah, putih, biru dan kuning yang  dipacakkan di tengah-tengah padang Dataran Merdeka.

“Bendera Perpaduan mula dipacakkan pada 31 Ogos yang lalu sehingga 16 September ini yang bersamaan dengan Sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Tambahnya, elemen perpaduan ini turut menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia yang selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas