Fokus

Serangan 150 hari ragut lebih 13,000 kanak-kanak

Kredit foto: Anadolu Agency
- Diterbit 12 Mac 2024 2:36 PM MYT

PEPERANGAN Israel di Gaza kini telah melepasi tempoh lima bulan sekali gus menyaksikan beribu-ribu rakyat Palestin telah terbunuh, ratusan ribu orang awam dipindahkan sekali gus mengubah bandar menjadi runtuhan.

Sehingga 5 Mac 2024, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan seramai 30,631 terbunuh di mana jumlah terbesarnya adalah kanak-kanak iaitu 13,430 diikuti 8,900 wanita dan 8,301 lelaki sementara 7,000 lagi dipercayai hilang di bawah runtuhan.

Memetik laporan Reuters, Kementerian Kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan atau dehidrasi di Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, utara Gaza yang merupakan wilayah paling ketara kekurangan makanan.

Kini Rakyat Palestin berdepan krisis kekurangan makanan yang mendesak dan bedilan bertubi-tubi tentera Israel dalam pertempuran berterusan di wilayah Palestin ketika rundingan damai berjalan di Kaherah, Mesir pada Isnin (4 Mac).

Bagaimanapun, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Christian Lindmeier berkata beliau yakin angka sebenar adalah jauh lebih tinggi.

“Bekalan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, tidak dapat memasuki Gaza sejak pertengahan Januari dan bekalan sedia ada di wilayah yang bergolak sudah lama habis.

“Menjadi satu kesalahan besar jika masyarakat antarabangsa terus berdiam diri membiarkan anak-anak ini menemui ajal,” katanya.

Dalam serangan terbaharu, Israel bertindak membedil trak bantuan di Gaza sehingga mengorbankan beberapa orang termasuk kanak-kanak, namun pihak tentera menafikan trak itu membawa bantuan.

Bantuan makanan ke seluruh Gaza semakin berkurangan daripada apa yang diperlukan dan keadaan itu lebih teruk di utara kerana satu-satunya lintasan di mana Israel benarkan trak melaluinya adalah di selatan.

Serangan Israel lebih 150 hari itu menyaksikan pelbagai kemusnahan lebih-lebih lagi mereka menyerang sektor penjagaan kesihatan sehingga mengorbankan 364 paramedik; 269 paramedik diculik; 155 fasiliti kesihatan dimusnahkan, 32 buah hospital lumpuh dan 126 ambulans telah dibom.

Dalam tempoh sama, kematian dalam kalangan wartawan di Gaza sejak 7 Oktober 2023 sehingga 23 Februari 2024 mencecah 132 orang berikutan pembunuhan Mohammad Yaghi dan Musab Abu Zaid bersama keluarga masing-masing dalam serangan udara yang menyasarkan kediaman mereka di kem pelarian Nuseirat.

Laporan terkini bertarikh 1 Mac, agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, berkata purata kira-kira 150 trak memasuki Gaza sehari pada bulan Januari telah turun kepada 97 trak pada bulan Februari sedangkan sebanyak 500 trak diperlukan setiap hari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas