Fokus

Duta Palestin gesa henti keganasan di bulan puasa

- Diterbit 12 Mac 2024 2:26 PM MYT

SELURUH dunia melahirkan kebimbangan mendalam terhadap rakyat Palestin di Gaza menjelang Ramadan ini apabila rejim zionis masih meneruskan serangan di wilayah tersebut.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali turut menggesa gencatan senjata disegerakan dan tanpa syarat di Gaza bagi memudahkan koridor kemanusiaan menyampaikan bantuan yang mendesak kepada rakyat Palestin.

“Ramadan amat bermakna kepada semua umat Islam. Tetapi tidak kepada semua pengganas di Israel pada masa ini. Perkara ini tidak akan pernah berubah sama ada pada Ramadan atau sebalikya.

“Israel akan terus menyerang dan membunuh rakyat Palestin yang tidak bersalah,” ujarnya ragu-ragu bahawa tentera rejim akan menghentikan serangan mereka.

Beliau turut mengecam Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir kerana mengesyorkan untuk menyekat kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.

Dalam pada itu, Walid berkata Palestin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan teguh mereka terhadap negara itu semasa sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

“Bagi pihak rakyat Palestin, kami mengagumi dan sangat menghargai mesej yang disampaikan Malaysia di The Hague,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin.

Malaysia dalam menyampaikan kenyataan lisan pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di ICJ pada Februari mendesak Israel mesti menghentikan semua pencabulan yang berterusan dan serta-merta berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyampaikan kenyataan itu juga menyenaraikan empat elemen substantif utama hak untuk menubuhkan negara sendiri bagi rakyat Palestin – hak terhadap integriti wilayah, hak terhadap kesatuan wilayah dan perlindungan terhadap integritinya, hak terhadap kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber semula jadi serta kebebasan untuk menikmati pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.

Malaysia juga menegaskan mengenai kewajipan semua negara dunia untuk terus menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin dan sebaliknya menghentikan sebarang bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Israel.

Terdahulu, peperangan Palestin Israel yang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 30,534 orang telah terbunuh manakala 71,980 lagi cedera. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas