Berita

Sentiasa jaga kualiti perkhidmatan DBKL

MAHADI (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada wakil Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan, Ar Noor Fazlina Rosley yang memenangi anugerah antarabangsa bagi kerja naik taraf Taman Tasik Titiwangsa.
- Diterbit 11 April 2022 3:25 AM MYT

WARGA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan untuk sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan agar ia setanding dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) luar negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, sebagai pentadbir bandar raya, DBKL mempunyai tugas yang besar untuk memastikan Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya yang lestari, berdaya tahan, berdaya huni, selamat, sejahtera, makmur dan inklusif untuk semua.

Jelasnya, dengan perubahan pantas yang berlaku dalam persekitaran global, sudah tiba masanya untuk DBKL menjadi badan berkuasa yang berpaksikan perkhidmatan berprestasi tinggi dan bertaraf kelas pertama.

“Dalam hal ini, pasukan DBKL perlu mempunyai kapasiti dan keupayaan yang tinggi untuk merealisasikan visi Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya terulung di mata dunia.

“PBT-PBT dan local council di negara-negara luar berfungsi sama seperti DBKL. Tetapi, cara kerja mereka yang lebih proaktif, lebih dinamik, lebih kreatif telah berjaya membuahkan hasil-hasil yang menarik, dan berkualiti tinggi, serta mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai pihak, terutamanya penduduk bandar mereka sendiri,” katanya ketika berucap semasa Majlis Apresiasi DBKL 2021.

Pada majlis tersebut, seramai 135 orang warga DBKL yang telah menyertai dan berjaya mengharumkan nama DBKL di peringkat nasional dan antarabangsa bagi tahun 2020 dan 2021 diraikan.

Beliau turut menyeru kepada semua warga DBKL agar sentiasa berikhtiar untuk melakukan perkara yang sama seperti diamalkan oleh pentadbir bandar raya luar negara yang cemerlang atau melakukan lebih baik daripada mereka.

“Kita kena lihat bagaimana mereka lakukan dengan cara yang berbeza dan memperolehi keputusan yang berbeza, maka inilah cabaran besar untuk DBKL.

“Kita juga perlu memastikan, bahawa kita berjaya memujuk dan mempengaruhi penduduk serta mendapat sokongan daripada mereka untuk turut serta menjayakan polisi serta inisiatif yang dilaksanakan demi kesejahteraan mereka (penduduk),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas