Artikel

“Bukan ku rayu bantu simpati…”

PELBAGAI aktiviti menarik telah diadakan bagi menceriakan anak-anak syurga PPDK Sinar@9 sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April lalu.
- Diterbit 11 April 2022 3:08 AM MYT

ALUNAN suara serak basah Allahyarham Saleem menyanyikan lagu Namun Ku Punya Hati bergema dalam fikiran penulis ketika menjejakkan kaki ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar@9 Putrajaya baru-baru ini.

Bait-bait lirik terasa melekat… “Tidakku minta, lahir ke dunia, tidakku duga, cacat begini, bukanku pinta, kasih dan manja, bukan ku rayu bantu simpati,” berputar berkali-kali dalam ingatan.

Kita selalu mendengar cerita tentang golongan istimewa orang kurang upaya (OKU) seperti autisme, sindrom down dan sebagainya yang sering ditindas oleh masyarakat kerana faktor ketidakupayaan mereka.

Sudah tentu hal sebegini amat menyedihkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini. Setiap ibu bapa pastinya mengharapkan zuriat dilahirkan sempurna namun kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.

Memiliki anak istimewa atau lebih manis digelar ‘anak syurga’ bukanlah suatu pilihan tetapi ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini harus bangga kerana mereka insan terpilih dan tidak mudah untuk mendidik dan membesarkan mereka.

Tidak dinafikan, sesetengah ibu bapa sering menerima sindiran daripada masyarakat tetapi apabila melihat perkembangan dan reaksi positif berlaku dalam diri anak mereka perasaan sedih tersebut bertukar menjadi lega.

Sempena meraikan Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April lalu, wartawan bersama jurufoto Wilayahku berpeluang merasai sendiri pengalaman berharga melakukan aktiviti, bermain dan melihat proses pembelajaran anak-anak di PPDK Sinar@9 Putrajaya.

HARI Kesedaran Autisme Sedunia disambut pada 2 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih peka terhadap individu yang menghidap autisme.

Pertama kali menjejakkan kaki ke PPDK itu, perasaan sayu tidak mampu terungkap apabila anak-anak ini menyambut gembira kedatangan kami. Segala yang terbayang di dalam fikiran dan tanggapan terhadap anak-anak itu ternyata silap sama sekali. Meskipun tidak sempurna dari segi fizikal tetapi mereka sudah mampu berdikari dan menguruskan diri dengan bantuan serta didikan daripada tenaga pengajar.

Semasa melakukan aktiviti bersama, mereka berjaya menjentik hati penulis apabila ada di antara mereka sudah mulai mengenali bentuk, warna selain mampu memahami perkataan yang disebut oleh guru lantas memberi tindak balas.

Menurut Penyelia PPDK Sinar@9, Suhana Alam, 45, dia bersyukur dan gembira melihat perubahan positif yang berlaku terhadap mereka. “Ada di antara mereka yang dahulunya tidak boleh berjalan, bercakap malah memberi respons juga tidak boleh.

Selepas melakukan beberapa sesi fisioterapi, alhamdulillah ada yang sudah mampu berjalan dan duduk seperti orang biasa. “Perasaan sebak memang tidak dapat diungkapkan. Allah kirimkan saya untuk mendidik anak-anak syurga ini.

Sebagai pengajar, kita seharusnya memberi semangat kepada ibu bapa khususnya dalam memberi pemulihan dan pendidikan kerana bukan mudah untuk mengendalikan anak-anak ini,” katanya kepada Wilayahku.

Menurutnya yang berpengalaman lebih 26 tahun mendidik anak syurga, sabar adalah kunci kekuatan yang perlu ada dalam diri seseorang tidak kira ibu bapa, pengajar mahupun masyarakat kerana anak-anak istimewa ini tidak seharusnya dikasari, dicemuh atau dipukul sebaliknya memberi perhatian dan belaian.

“Bukan senang untuk menjadi ibu bapa atau pendidik kepada anak-anak istimewa ini kerana mereka dahagakan perhatian, belaian dan kasih sayang. Minat terhadap kerjaya sahaja tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu bertahan tetapi nilai kasih sayang serta minat adalah penting,” ujarnya.

Katanya lagi, pembabitan setiap ahli keluarga dalam proses membesarkan anak-anak ini sangat perlu untuk membentuk perkembangan positif mereka sehingga mampu berdikari selain bergaul dengan masyarakat.

“Ibu bapa menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju dan masa hadapan anak-anak, jadi mereka perlu sentiasa memberikan sokongan moral dan emosi kerana mereka tidak pernah diminta untuk dilahirkan sebegitu,” katanya yang telah menceburi bidang urutan terapi sejak tahun 1994.

Tambahnya, kesedaraan dan kepekaan masyarakat terhadap golongan ini juga perlu diperluaskan bukan sekadar untuk pengetahuan semata-mata tetapi juga menerapkan rasa tanggungjawab terhadap anak-anak ini.

“Masyarakat perlu menghakis persepsi negatif terhadap golongan ini dan menyemai nilai positif melalui perkongsian secara langsung atau aktiviti-aktiviti kesedaran seperti kempen, ceramah dan sebagainya.

“Biarpun memiliki kekurangan, anak syurga ini memerlukan kasih sayang daripada semua pihak dan sebagai masyarakat yang prihatin, jangan sesekali kita menyisihkan anak syurga ini,” katanya.

Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April lalu, PPDK Sinar@9 Putrajaya turut tidak melepaskan peluang meraikan anak-anak ini dengan mengadakan aktiviti seperti fingerprinting secara berkumpulan, mismatched socks dan food basket.

ANTARA aktiviti yang dilakukan oleh pelatih di PPDK Sinar@9 sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia.

“Selain itu, kami juga telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa pelatih untuk memberi motivasi dan kesedaran kepada mereka dan masyarakat di luar sana kerana masih ada lagi yang tidak memahami apa itu sebenarnya autisme disebabkan oleh kebanyakan kanak-kanak yang menghadapinya kelihatan normal,” kongsinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas