Berita

Semua pihak perlu berganding bahu bantu rakyat, kerajaan depani COVID-19

TUN FAISAL menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima di Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 1 Ogos 2021 5:41 AM MYT

SEMUA pihak terutama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berganding bahu dalam menghadapi gelombang baharu COVID-19 yang telah menjangkiti orang ramai.

Ahli Perbadanan Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, inisiatif untuk membawa semua pihak di dalam gabungan PN merupakan satu pendekatan yang terbaik dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Dalam mendepani COVID-19 ini, penglibatan semua anggota masyarakat adalah sangat penting, kita tidak boleh berpecah belah dan saling menyalahkan orang lain.

“Seperti di Putrajaya ini, saya menganjurkan inisiatif untuk membawa semua pihak dan yang penting adalah mengambil tanggungjawab untuk membantu seramai orang yang boleh terutama yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan berkata, penglibatan rakan komponen PN serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk menunjukkan kepada rakyat tentang kesatuan PN yang bergerak bersama-sama untuk melihat sendiri kehidupan rakyat yang terjejas.

“Macam saya sendiri hari ini, mewakili Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan juga sebagai Anggota Pentadbiran PPj yang bersama-sama duduk dibawah Kerajaan PN, kita bawa sekali Yang Di Pertua (YDP) Pas Kawasan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya turut hadir sama.

“Kita bawa semua dan dalam perang menghadapi COVID-19, ketika ini semakin sukar disebabkan Varian Delta dan kes di Putrajaya juga meningkat serta ia amat merisaukan,” katanya sambil menambah program itu turut dihadiri wakil penduduk, sukarelawan prihatin (PriVo), Kelab Anggun Putrajaya serta sukarelawan perseorangan.

Tegasnya, soal kebajikan kepada rakyat di dalam tempoh ini perlu dilakukan secara bersama-sama agar rakyat dapat melihat keberkesanan kerajaan dalam memberikan bantuan kepada mereka.

“Kita tidak boleh perkara ini secara terpisah-pisah dan sebagai contoh hari ini, semua orang ada dan kita buat satu gerakan bersama untukmembantu kerajaan dan juga rakyat.

“Akhirnya apa yang hendak dicapai adalah untuk menang bersama dalam perang melawan COVID-19 ini dan kita hendak kejayaan ini bukanlah hanya satu pihak, sebaliknya adalah kejayaan bersama dan itulah idea untuk program turun padang hari ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas