Berita

Sasar eksport sarang walit cecah RM1.5 bilion

SALAHUDDIN mencuba proses cucian mentah sarang burung walit menggunakan tekanan udara di kilang Netfarm di Petaling Jaya baru-baru ini.
- Diterbit 23 Januari 2020 5:12 AM MYT

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan nilai eksport industri sarang burung walit dapat mencapai sehingga RM1.5 bilion pada tahun ini menerusi Projek Permulaan (PPP) berimpak tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sasaran tersebut dilihat mempunyai asas yang kukuh dari segi keupayaan negara mengeluarkan sarang burung walit berkualiti dan seterus­nya menerajui pasaran dunia khususnya di China.

“Semenjak kemelut isu peng­eksportan sarang burung walit ke China pada 2011 diselesaikan secara berperingkat, pe­ningkatan pengeksportan berlaku terutama dalam produk tambah nilai ber­asaskan sarang burung walit dengan nilai ‘Freight/Free On Board’ (FOB) mencecah RM1.154 billion pada tahun lalu.

“Kita mengharapkan jumlah eksport akan bertambah pada tahun ini dengan pertambahan loji-loji pemprosesan sarang burung walit yang diluluskan pihak berkuasa China,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pusat Pemprosesan Raw Unclean Edible Birdnest milik Netfarm International Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Menurut Salahuddin, sarang burung walit merupakan komo­diti berasaskan pertanian yang mampu meraih harga tinggi di pasaran.

Jelas beliau, statistik pembangunan industri menganggarkan sejumlah lebih 30,000 rumah burung walit dibina dan beroperasi di seluruh negara semenjak 2008.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas