Berita

Dapatkan data, maklum balas hingga Jun ini

KHaLID (dua dari kanan) memberikan taklimat kepada pemilik dan pewaris tanah pada sesi libat urus bersama PKB di Kampung Baru baru-baru ini.
- Diterbit 23 Januari 2020 5:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran bagi mendapatkan maklumat dan data sepenuhnya mengenai maklum balas tawaran pembelian tanah Kampung Baru menjelang Jun ini.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, maklum balas berkenaan perlu bagi membolehkan pihak ke­rajaan membuat keputusan selain mencari langkah penyelesaian untuk membolehkan cadangan pembangunan kampung tradisi itu dilaksana­kan.

“Bulan Jun ini, kita cuba dapatkan jumlah pemilik tanah yang bersetuju dengan tawaran serta cari penyelesaian bagi mereka yang tidak bersetuju dan cuba berunding kali terakhir.

“Sukar hendak laksanakan pembangunan dengan sempurna jika ta­nah yang diperlukan tidak diperoleh. Jadi kita sasar sebelum Jun ini, semua pemilik dan pewaris tanah bertemu secara terus dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk sesi penjelasan bagi merungkai sebarang kemusykilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini baru-baru ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan tawaran kerajaan untuk membeli tanah daripada pemilik dan pewaris di Kampung Baru pada kadar harga baru RM1,000 setiap kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Berdasarkan tawaran itu, RM850 diperoleh secara tunai manakala baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham. Bagi mereka yang memilih membeli hartanah pula akan mendapat diskaun 15 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan berkata, inisiatif pihaknya menganjurkan program libat urus dengan kumpulan sasar menjadi pemudah cara untuk pihak kerajaan menangani permasalahan yang dihadapi pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

“Ini merupakan program libat urus secara kumpulan fokus supaya da­pat berjumpa dengan semua pemilik yang belum memberikan maklum balas. Ada kira-kira 3,000 pemilik dan pewaris yang kita perlu jumpa dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Januari sehingga 31 Mac.

“Setakat ini, kita telah laksanakan lebih 20 sesi dengan purata tiga kali sesi sehari, kita panggil pemilik tiga hingga empat lot untuk satu sesi me­libatkan kira-kira 30 orang,’’ katanya.

Pada sesi libat urus minggu lalu yang turut dihadiri Khalid, melibatkan 120 pemilik dan pewaris tanah di Kampung Periuk, Kampung Atas A dan Kampung Atas B membabitkan 36 lot.

Kata Zulkurnain lagi, pihaknya mengambil peluang bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai perancangan pembangunan Kampung Baru kerana ia memerlukan sokongan daripada semua pemilik dan pewaris.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas