Berita

Kuala Lumpur destinasi beli-belah

JOYCE YAP (dua dari kanan) bersama Khalid (tengah) pada program “The Prosperous Reunion” sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 23 Januari 2020 5:15 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini bertambah meriah apabila ia diadakan bersekali dengan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Melalui inisiatif yang dijalankan Pavilion Kuala Lumpur, pusat membeli-belah ini dengan kerjasama Walt Disney Malaysia mencipta pengalaman bagi pengunjungnya melalui hiasan perayaan berkenaan.

Paling ketara ialah watak animasi Mickey dan Minnie Mouse dihiasi dengan pakaian tradisonal Cina untuk memperingati Tahun Tikus yang berukuran enam meter dan berputar menjadi tarikan utama.

Ia juga dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai patung terbesar yang berputar.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Kuala Lumpur (Retail), Datuk Joyce Yap ber­kata, mereka mahu mencipta pengalaman membeli-belah selain menjadi ejen kepada sambutan TMM 2020.

“Kami mahu memainkan peranan untuk menarik pelancong sempena TMM 2020. Sebagai destinasi mem­beli-belah utama di bandar raya ini, Pavilion berhasrat mene­rajui cara meraikan musim perayaan melalui hiasan yang mengagumkan.

‘’Hiasan itu menjadi tarikan orang ramai dan pelancong yang berkunjung ke negara inio,’’ katanya ketika berucap pada program “The Prosperous Reunion” sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadi­ri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Sementara itu, Khalid dalam ucapanya berkata, kerajaan telah meletakkan sasaran kehadiran 30 juta pelancong ke Malaysia dengan menyasar­kan perolehan RM100 bili­on.

“Program TMM 2020 adalah untuk mengukuhkan Malaysia sebagai hab pelancongan dan seterusnya meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi membeli-belah di pe­ringkat global.

“Pavilion Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini perlu berusaha untuk meningkatkan status Bukit Bintang sebagai kawasan membeli-belah utama Malaysia.

“Melalui usaha yang sedang giat dilaksanakan, ia pasti akan menjadi tarikan pelancong dan seterusya menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berkelas dunia,’’ katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebagai rakyat Malaysia, Tahun Baru Cina merupakan sambutan tahunan yang penting untuk diraikan bersama dan melangkaui soal kaum dan agama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas