Fokus

Makan berpada-pada ketika Aidilfitri

- Diterbit 19 April 2024 5:06 PM MYT

BUKAN sahaja pada bulan Syawal tetapi setiap orang perlu menitikberatkan penjagaan makanan setiap hari agar terhindar daripada masalah kegemukan sekali gus komplikasi pelbagai penyakit.

Bekas penghidap obesiti, Nurul Izzah Mohd Zalani, 24, berkata setiap kali tibanya lebaran, dia teruja menikmati apa sahaja hidangan memandangkan hanya setahun sekali meraikannya.

“Kalau dulu saya tak kisah bab makan kerana saya sendiri menghidap obesiti sejak berumur dua tahun sehingga remaja. Ketika itu, berat saya pernah mencecah 114 kilogram (kg).

“Kemudian saya nekad untuk turunkan berat badan setelah menghidap darah tinggi selain tidak tahan dicemuh oleh seorang pakcik yang menghina saya tidak cantik.

“Bukan hanya nak nampak lawa tetapi ketika obesiti, saya mudah mendapat penyakit selain hormon period juga tidak menentu. Perasaan saya ketika itu memang down namun saya kuatkan diri berdepan dengan situasi tersebut,” ujarnya.

Pada tahun 2020 ketika berusia 20 tahun, dia mengamalkan diet secara kalori defisit setiap hari selain melakukan senaman sehingga berat terkininya turun kepada 76 kilogram.

“Saya serik hidup dengan masalah obesiti, kini setiap kali tibanya Syawal atau hari biasa, saya amalkan konsep suku-suku separuh dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, lemak dan manis dalam makanan serta minuman.

“Bukanlah saya tak makan ketupat, rendang dan sebagainya tetapi berpada-pada, lebihkan minum air putih kerana ia boleh mengurangkan kalori serta mencernakan kembali pengambilan gula dalam badan.

“Nasihat saya terutama kepada yang sedang mengamalkan diet, lakukan senaman seperti berjalan kaki atau joging terutama selepas seharian menikmati hidangan Hari Raya,” katanya.

Berkongsi kisah sama, Ahmad Ridzwan Lukman Hekiem, 27, berkata dia nekad menurunkan berat badan kerana sering dipinggirkan oleh rakan ketika berada di sekolah menengah.

“Dahulu berat saya pernah mencecah 95 kg dengan ketinggian 157 cm, saya rasa malu selain badan tidak produktif ditambah lagi ramai yang hina saya. Walaupun begitu, saya jadikan ia suntikan semangat untuk turunkan berat badan.

“Dalam masa setahun, saya dapat kurangkan 30 kg iaitu daripada 95 kg kepada 65 kg sekarang. Nasihat saya, lakukan diet kerana untuk kesihatan bukannya untuk mendapat pujian orang,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas