Sambut Hari Malaysia dengan kesatuan melawan COVID-19
SAMBUTAN Hari Malaysia membawa satu makna yang besar dan perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Kredit foto: Bernama

Sambut Hari Malaysia dengan kesatuan melawan COVID-19

HARI Malaysia yang disambut 16 Sept setiap tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia, perlu disambut dengan semangat kesatuan khususnya ketika negara kini berdepan ancaman COVID-19.

Ketua Jabatan Kepimpinan Komuniti dan Berkeperluan Khusus, Institut Aminudin Baki, cawangan Sabah Carl Martin Albert berkata selain menganjurkan acara, kesatuan itu boleh ditunjukan dengan bersama mencegah COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pelbagai cara kita boleh lakukan untuk menyemarakkan sambutan Hari Malaysia selain melakukan aktiviti yang mencerminkan keamanan dan keharmonian pelbagai kaum. Dalam situasi pandemik COVID-19 masa kini, kita dilarang untuk berkumpul dan melakukan aktiviti yang sering kita lakukan pada tahun-tahun lepas.

Kita boleh menyemarakkan rasa cintakan negara dengan membantu kerajaan menangani COVID-19 dengan bersama patuh segala arahan atau SOP yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, selain membantu kerajaan menangani situasi COVID-19 yang masih di tahap membimbangkan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Carl Martin berkata sambutan Hari Malaysia membawa satu makna yang besar dan perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan muda di Sabah.

Kita perlu bersyukur kerana Sabah aman damai dan harmoni dalam Malaysia. Oleh itu kita perlu bersatu padu memastikan negara kita kekal aman dan harmoni, dengan berganding bahu melawan COVID-19 yang telah melemahkan negara khususnya dari segi ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pinahawaon Misson Madamin, 58, berkata walaupun sambutan Hari Malaysia tidak dapat disambut seperti tahun-tahun sebelum ini, namun banyak cara yang dapat dilakukan untuk menyemarakkan sambutan berkenaan.

“Di peringkat kampung penduduk haruslah sentiasa bersyukur kerana masih dapat hidup dalam suasana aman damai. Kita bukan sahaja boleh mengibarkan Jalur Gemilang, namun apa yang penting kita teruskan kehidupan secara harmoni dan hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

“Elakkan pergaduhan sesama kita dan jangan jadikan agama atau bangsa sebagai tembok atau penghalang untuk kita saling hormat-menghormati,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Lapasan Simon Ganjun, 60, berkata Sabah terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Oleh itu sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini marilah kita bersama-bersama untuk terus kekalkan kerharmonian itu…jangan biarkan sedikit salah faham dapat mengganggu gugat keharmonian yang kita kecapi selama ini.

“Saya juga selalu menekankan kepada semua penduduk, khususnya di Kampung Lapasan yang terdiri daripada masyarakat suku kaum Dusun dan Bajau untuk saling hormat-menghormati agar keharmonian kampung terus kekal,” tambahnya.

Kampung Pinahawaon terletak di Inanam di sini, sekitar 10 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu, manakala Kampung Lapasan terletak di Telipok dalam daerah Tuaran, kira-kira 30 kilometer dari Kota Kinabalu. — BERNAMA

CATEGORIES
TAGS