Berita

Agong zahir harapan MoU kerajaan, PH akhiri kemelut politik

YDPA menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 15 September 2021 4:19 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin, dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua Ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 Sept lepas.

“Seri Paduka mengulangi pandangan Baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menegaskan pemeteraian MoU itu juga selaras dengan pendirian Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas