Berita

Rumah Mampu Milik RM100,000 di Putrajaya

SHAHIDAN berkata KWP komited memperkenalkan Rumah Mampu Milik di bawah RM100,000 di Putrajaya untuk mereka berpendapatan RM3,000. Kredit foto: Facebook Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
- Diterbit 29 Mac 2022 7:50 AM MYT

PRIHATIN dengan keperluan perumahan dalam kalangan rakyat, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil pendekatan proaktif untuk membangunkan Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah RM100,000 bagi membantu golongan berpendapatan bawah RM3,000 memiliki kediaman sendiri di Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata perancangan untuk membina rumah di Putrajaya disebabkan faktor kekurangan tanah di Kuala Lumpur selain mahu membantu masyarakat memiliki rumah yang lebih berkualiti, selesa dan mampu milik.

“Pelaksanaan pembangunan RMM di Wilayah Persekutuan memberi fokus kepada kategori kos sederhana melalui Residensi Prihatin untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM5,000 sebulan.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai inisiatif ini,” katanya dalam Program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di Saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin.

Menurut Shahidan, sebelum ini KWP telah memperkenalkan RUMAWIP pada tahun 2013 tetapi ia telah diberi penjenamaan baharu kepada Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM) selepas bertukar kerajaan pada 2018 lalu.

“RWKM ini merujuk kepada Rumah Mampu Milik di Wilayah Persekutuan yang mana ia terbuka kepada golongan bujang yang mempunyai pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 dan RM15,000 buat mereka yang sudah berkahwin untuk memiliki rumah berharga sehingga RM300,000 seunit dengan keluasan 950 kaki persegi.

“Selain itu, kita juga telah membina Residensi Prihatin Keluarga Malaysia buat warga kota memiliki rumah dengan harga jualan sehingga RM200,000 seunit dan saiz rumahnya berkeluasan minima 750 kaki persegi,” katanya.

Tambahnya, dianggarkan sebanyak 10,000 unit RMM akan dibina daripada tahun 2021 sehingga 2024.

“Kita sasarkan 10,000 unit dalam masa tiga tahun tetapi kita boleh mencapai lebih daripada itu kerana ada kumpulan-kumpulan sasar yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahidan turut memberitahu sehingga Mac tahun ini, KWP telah meluluskan 104 projek RWKM yang melibatkan kira-kira 68,276 di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 97 buah projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

“Di samping itu, sehingga kini sebanyak tujuh tapak telah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home di Sungai Udang dan Segambut sebanyak 1,251 unit dengan keluasan 807 kaki persegi. Mereka boleh mula mendiami rumah tersebut pada bulan April ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata KWP juga sedang merancang membangunkan Council Home di Jalan Selimang, Cheras sebanyak 702 unit, 1,000 unit di Taman Desa, Bandar Baru Sentul pula 168 unit, Jalan Tasik Permaisuri 204 unit, Pekan Salak Selatan sebanyak 1,540 unit dan Taman Alam Damai 235 unit.

“Ini merupakan tujuh tempat yang telah kita kenal pasti serta kita juga sedang melihat beberapa tempat lain dan akan umumkan kemudian. Walau bagaimanapun, sebanyak 5,140 unit Council Home juga akan mula dibina tahun ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tempoh lalu.

“Semua rumah dan aktiviti lain ini boleh mengerakkan ekonomi negara. Itu yang paling penting kerana apabila ekonomi kita bergerak dengan lancar, ia merupakan sumber pendapatan utama kepada rakyat dan dalam masa yang sama pembinaan rumah-rumah ini juga akan menyumbang ke arah pembangunan tersebut,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas