Berita

5,000 gerai bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur

SHAHIDAN (tiga kiri) ketika melawat tapak penyusunan semula penjaja di Jalan Dungun dan Jalan Gelenggang pada Selasa.
- Diterbit 30 Mac 2022 8:01 AM MYT

SEBANYAK 5,000 gerai bazar Ramadan akan beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelang Ramadan tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ia akan melibatkan 72 lokasi yang telah dikenal pasti.

“Ia akan beroperasi setiap hari sepanjang Ramadan bermula pukul 3 petang sehingga 8 malam.

“Di Putrajaya dan Labuan juga akan diadakan jualan bazar seperti ini walau bagaimanapun jumlahnya akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika melawat tapak penyusunan semula penjaja di Jalan Dungun dan Jalan Gelenggang pada Selasa.

Berkenaan prosedur operasi standard (SOP), beliau memaklumkan pihaknya akan melantik seramai 10,000 sukarelawan sebagai duta komuniti yang akan membantu mengingatkan orang ramai berkenaan pematuhan SOP.

Tambahnya lagi, penyusunan semula penjaja akan turut diperkenalkan di seluruh Kuala Lumpur dan beberapa lokasi yang telah dikenal pasti oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Penyusunan semula merupakan matlamat DBKL bagi membolehkan penjaja menjalankan perniagaan dengan lebih kondusif, berpusat serta sistematik dan yang paling penting kita mahu memastikan bahawa penduduk sekitar tidak merungut dengan kehadiran peniaga ini.

“Tambahan pula kawasan yang digunakan adalah tempat awam yang tidak akan mendatangkan kesan terhadap mereka,” ujarnya.

Shahidan berkata melalui penyusunan ini juga sebuah aplikasi bakal dibangunkan dengan kerjasama antara DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

“Aplikasi digital ini adalah bagi memudahkan orang ramai mendapatkan makanan atau barangan yang dijual oleh peniaga sekitar Kuala Lumpur terutama di bulan Ramadan.

“Selain berniaga di tepi jalan kita juga mahu peniaga untuk memberi fokus terhadap perniagaan secara online dan diharapkan ia akan memanfaatkan peniaga di sekitar Kuala Lumpur ini,” jelasnya.

Sementara itu, Shahidan memaklumkan program penyusunan ini juga mendapat kerjasama baik daripada YWP yang memberi sumbangan khemah kepada lebih 30 peniaga di Jalan Dungun dan Jalan Gelenggang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas