Berita

TalentCorp wujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu

KETUA Unit Pas dan Khidmat Ekspatriat, Jabatan Imigresen Malaysia, Mohd Razip Yasin (kiri), Ahli Lembaga Pengarah TalentCorp, Murali Velautham (tengah dan Thomas Mathew (kanan) simbolik memotong riben ketika merasmikan pejabat baharu TalentCorp di bangunan One Precinct, Bayan Baru, Pulau Pinang, hari ini.
- Diterbit 28 Mac 2022 7:40 AM MYT

TALENT Corporation Malaysia (TalentCorp) akan terus memainkan perannnya sebagai penghubung kolaborasi kepada majikan bagi membantu pemain industri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang memerlukan 30,000 peluang pekerjaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thomas Mathew berkata, pihaknya sentiasa berusaha mewujudkan rangkaian dan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam sektor awam dan swasta sejak pembukaan pejabatnya di Pulau Pinang tujuh tahun lalu.

“Selain kerjasama dengan pemain industri utama di Pulau Pinang dan Kedah, TalentCorp juga menjalinkan kerjasama dengan pihak academia di ketiga-tiga negeri NCER termasuk Perlis,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan pejabat baharu TalentCorp di bangunan One Precinct, Bayan Baru, Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Thomas, pejabat baharu TalentCorp dan MYXpats di Bayan Baru itu merupakan cawangan pertama di luar Lembah Klang dan berperanan sebagai penghubung kolaborasi dengan majikan serta program-program yang bakal memberi manfaat kepada ekosistem bakat di negara ini.

“Kewujudan MYXpars di sini juga menyasarkan untuk menambah baik masa pemprosesan bagi perkhidmatan di rantau itu,” katanya.

Tambahnya, pejabat baharu TalentCorp, MYXpats dan MYNext di utara ini adalah bukti kejayaan TalentCorp sejak ia mula beroperasi di Pulau Pinang pada tahun 2014.

“Pejabat Talentcorp hanya diwakili oleh seorang pekerja sahaja pada ketika itu tetapi selepas lapan tahun beroperasi, ia telah berkembang teguh dan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai industri.

“Hasil pertumbuhan ini, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan di utara dengan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang memerlukan maklumat dan bantuan mengenai inisiatifnya serta membantu mereka sehingga berjaya,” katanya.

Sejak mula melebarkan sayap ke wilayah Utara tujuh tahun lalu, TalentCorp berusaha mewujudkan rangkaian dan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam sektor awam mahupun swasta antaranya Invest Penang, Invest Kedah dan Penang Women’s Development Corporation (PWDC).

“Selain itu, TalentCorp juga telah mengadakan Kerjasama Industri-Akademia dengan Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Kuala Lumpur (Kedah) dan Universiti Utara Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas