Berita

RM350 juta rancak promosi, aktiviti pelancongan negara

KERAJAAN menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Oktober 2023 9:52 AM MYT

KERAJAAN menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merangkumi penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026, aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara serta geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia.

“Ia termasuk dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, kawasan, bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara bagi mengekalkan kemudahan keselamatan dan kebersihan.

Anwar berkata RM20 juta disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis.

“Sejumlah RM80 juta juga disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO antaranya di Gua Niah, Sarawak, Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut komited untuk memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia melibatkan kemudahan.

“Ia meliputi kelulusan pas pengajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama dan memperkenalkan pas lawatan sosial jangka panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.

“Ia termasuk menambah baik kemudahan Visa on Arrival, pas lawatan sosial dan tawaran Multile Entry Visa bagi mengalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutama dari negara India dan China,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas