Berita

10 ribu gerai, warung bakal diperindah

SEBANYAK 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat akan dibina di seluruh kawasan PBT dengan peruntukan RM50 juta. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Oktober 2023 9:47 AM MYT

KERAJAAN menyasarkan 10 ribu gerai-gerai dan warung-warung kecil bakal diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat akan dibina di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan RM50 juta.

“Kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran sewa kios bagi enam bulan pertama untuk rakyat berniaga.

“Pusat Penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur di 150 kawasan PBT akan dibaik pulih dan dinaik taraf dengan peruntukan RM110 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Menurut Anwar, usaha pembelian produk tempatan akan diperhebat melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dengan peruntukan RM27 juta.

“Setakat ini, lebih 1,200 perniagaan francais telah berdaftar di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan 720 daripadanya dimiliki oleh syarikat tempatan dengan nilai jualan dalam negara mencecah RM30 billion,” jelas Anwar.

Anwar berkata beliau akan memberi jaminan bahawa kebajikan penjaja serta peniaga di pasar-pasar akan terus dipelihara bagi memastikan keselesaan buat mereka dan pengunjung.

“Ekonomi rakyat akan terus diangkat dan di martabat. Saya tetap dengan azam yang sama iaitu mahu negara ini dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai dan warung yang bersih, indah dan selamat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas