Selera

Restoran asli Melayu di Kampung Kasipillay

RUANGAN terbuka memberi keselesaan dan suasana santai kepada pelanggan.
- Diterbit 1 November 2019 9:45 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

Masakan asli Melayu pastinya lebih menyelerakan kerana lengkap dengan rasa lemak manis yang disulami pedas dan masam. Namun hidangan turun temurun itu pastinya sukar dinikmati di ibu negara yang pesat dengan pembangunan kerana mengambil masa yang lama untuk disediakan.

Justeru kebanyakan restoran dan kedai makan di negara ini dipengaruhi atau dikendalikan masyarakat Patani yang lebih kepada cita rasa Thailand. Malah boleh dikatakan hampir 90 peratus restoran menyajikan hidangan tom yam, nasi air, nasi goreng nenas, mi segera celup dan somtam.

Ekoran itu, bagi memelihara dan memperkenalkan keaslian masakan Melayu, Molek Cafe menampilkan kelainan dengan menyediakan hidangan khas warisan masyarakat Melayu Terengganu kepada warga kota.

Lebih menarik apabila restoran milik Mohd. Azami Idris ini dibuka di tengah-tengah kawasan yang dihuni oleh masyarakat Cina dan India. Malah dia satu-satunya pemilik restoran Melayu di Kampung Kasipillay itu.

Beralamat di Nombor 27, Jalan Bachang, Kuala Lumpur, restoran yang dibuka sejak tiga tahun lalu mengetengahkan hidangan Terengganu dan Negeri Sembilan. Tukang masaknya pula merupakan anak jati kedua-dua negeri tersebut dan bukan diimport dari negara jiran.

NASI dagang ikan aya.

Menurut pemiliknya, konsep Molek Cafe adalah masakan panas Melayu asli dan bukannya Thailand.

“Kita mahukan masakan panas Melayu asli. Di sini, keropok lekor yang dihidangkan kepada pelanggan adalah buatan saya sendiri,” jelasnya.

Dalam menampilkan kelainan dan menjaga kualiti makanan, ujarnya, pelanggan perlu memilih dan membuat pesanan terlebih dahulu. Cara itu juga memberi keistimewaan kepada pelanggan yang mementingkan kesegaran pada menu.

AZAMI

“Pilih, pesan dan seterusnya masak. Kita cuba ubah masakan tersebut kepada hidangan panas. Di sini tidak akan ada hidangan daging masak merah atau tom yam kerana fokus utama adalah masakan asli Melayu iaitu masak lemak cili api dan daging salai.

“Menu Terengganu pula adalah ikan singgang, budu serta celup tepung antaranya ikan celup tepung dan sotong celup tepung. Bagi menampilkan rasa yang sedap, adunan tepung dan sos dihasilkan sendiri selain membawa khas sotong gergasi atau gajah dari Terengganu.

“Bagi sotong gergasi, kami jual dalam bentuk timbang atau siap potong dengan harga RM15 bagi satu hidangan,” ujarnya yang turut menyediakan KLCC sebagai hidangan iaitu keropok lekor cicah colek.

Menyedari pelanggan yang hadir turut membawa anak-anak berumur bawah 12 tahun, Molek Cafe menyediakan hidangan ala Barat seperti burger dan kentang goreng kerana kanak-kanak lebih gemarkan makanan seperti itu pada waktu malam.

“Menu istimewa kita adalah tumis asam pedas kepala ikan yu atau kari ikan yu. Selalu ada sup sirip ikan yu tetapi di sini menggunakan kepala ikan yu kerana di dalamnya mempunyai lebih banyak kolagen.

IKAN kembung celup tepung.

“Pengunjung juga dapat menikmati nasi dagang yang dimakan bersama ikan aya (ikan tongkol) cobek. Dipanggil cobek kerana di Terengganu, ikan tongkol selalu dicubit-cubit dan begitulah yang dihidangkan kepada pelanggan,” katanya yang berasal dari Marang, Terengganu.

Santai

Selain menyediakan kemudahan parkir kepada pengunjung, Molek Cafe yang dikendalikan kontraktor berusia 59 tahun ini turut memberi ruangan selesa dan santai.

Ceritanya, pada mulanya dia membuka restoran di Taman Dagang, Ampang sebelum berpindah ke Kampung Kasipillay yang lebih strategik dua tahun kemudian.

“Kini sudah lebih 26 tahun saya berada di sini iaitu sejak saya mula-mula datang ke ibu negara sebagai seorang kontraktor,” jelasnya yang memilih nama Molek sebagai nama restoran.

Ujarnya, perkataan molek berasal dari Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) yang bermaksud comel, cantik, bagus atau elok.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas