Biz

Tabung Haji perkukuh portfolio pelaburan anak syarikat, hartanah

- Diterbit 5 November 2019 2:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) terus memainkan peranan yang aktif di dalam ekonomi negara melalui portfolio pelaburan termasuklah pelaburan secara langsung menerusi anak-anak syarikatnya dan hartanah.

TH dalam satu kenyataan berkata, prestasi anak-anak syarikat TH adalah memberangsangkan terutamanya Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. Bank Islam telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM437 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2019 dengan peningkatan sebanyak 9.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Pembiayaan turut meningkat sebanyak 7.3 peratus.

“Syarikat Takaful Malaysia Keluarga turut mencatat rekod baharu bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan keuntungan yang dijana sebanyak RM322 juta, meningkat sebanyak 40 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan tersebut berkata, TH Travel and Tours Sdn. Bhd. pula terus menjadi antara agensi pelancongan Muslim pilihan yang telah memberi khidmat kepada 1,044 orang jemaah haji dan 19,405 jemaah umrah pada tahun 2018.

“BIMB Investment Management Bhd. juga memperkenalkan Dana ESG Syariah BIMB yang merupakan pengurus dana Syariah ESG terbesar di Malaysia dengan saiz dana melebihi RM900 juta di masa kini,” katanya.

Kenyataan itu berkata, TH akan terus mencari peluang pelaburan baharu dan melabur dengan cara yang bersesuaian dengan mengambil kira aspek profil risiko para pendeposit.

“Keyakinan rakyat Malaysia yang masih belum menunaikan haji kepada TH kekal tinggi. Setakat akhir bulan Oktober, TH mempunyai seramai 9.4 juta pendeposit dan bilangan pendeposit yang belum menunaikan haji telah meningkat kepada 8.7 juta dengan nilai deposit berjumlah RM42.6 bilion,” jelasnya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, bilangan pendeposit yang telah mendaftarkan haji juga meningkat dan pada masa sama menarik lebih 50,000 pendaftaran haji baharu dalam tempoh tiga bulan lalu.

“Kedudukan kewangan TH kembali kukuh dengan selesainya Pelan Penstrukturan Semula TH pada bulan Mei tahun ini menerusi perpindahan aset tidak berdaya maju ke Syarikat Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. (Urusharta Jemaah), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

“Nilai aset yang dipindahkan tidak boleh dilihat secara berasingan tetapi dinilai secara menyeluruh kerana urus niaga tersebut bertujuan mengimbangi kembali jumlah aset dan liabiliti TH,” katanya.

Sebelum penstrukturan semula, jelas kenyataan itu, liabiliti TH melebihi aset sebanyak RM10 bilion yang menghalang TH membayar hibah kepada para pendepositnya memandangkan Akta Tabung Haji 1995 mensyaratkan hibah atau dividen tidak boleh dibayar jika tanggungan (hutang atau liabiliti) TH melebihi aset sedia ada.

“Semua aset yang dipindahkan ke SPV termasuk sebidang tanah di TRX, merupakan sama ada aset yang nilai semasanya di bawah kos pelaburan atau aset yang tidak menjana keuntungan dan aset yang memberi pulangan rendah kepada TH.

“Terbitan Sukuk bernilai RM19.9 bilion oleh Urusharta Jamaah sebaliknya telah memberikan TH pulangan sebanyak 4 peratus atau lebih kurang RM800 juta setahun,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, walaupun sesetengah aset dilihat mempunyai nilai di masa hadapan, TH perlu melabur sejumlah dana yang besar untuk pembangunan aset seperti projek kediaman mewah atau kompleks komersial yang dilihat tidak sesuai dengan pasaran masa kini serta berisiko kepada dana pendeposit.

“TH mempunyai hak penolakan pertama untuk mendapatkan semula aset daripada Urusharta Jemaah sekiranya aset-aset tersebut memenuhi strategi perniagaan TH dan nilai tambah yang akan memberi manfaat kepada pendepositnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas