Selebriti

“Hijab mulut harus dijaga” – Lisa Surihani

|
- Diterbit 1 November 2019 9:24 AM MYT

Oleh IBNATIE AZIZA
[email protected]

BUKANLAH sesuatu yang asing apabila artis wanita yang mula mengenakan hijab, dilihat sebagai individu yang baru dan berbeza daripada personalitinya sebelum ini.

Bagi pelakon wanita, Lisa Surihani yang juga dianggap sebagai Malaysia’s Sweetheart ini, dia tidak mahu orang ramai di luar sana mengganggap dirinya seorang yang berbeza hanya kerana penampilannya yang kini berhijab.

Ujar Lisa atau nama penuhnya Lisa Surihani Mohamed, 33, dia tidak mahu kisah penghijrahannya begitu digembar-gemburkan menjadi begitu besar sedangkan dirinya masih lagi dalam proses pembelajaran menjadi ke arah yang lebih baik.

“Bagi saya, sesiapa pun yang memakai atau tidak memakai hijab pun semua cantik. Sentiasa cantik. Bila dalam cantik, lagi cantik. Dalam hati maksud saya. Bila kita sentiasa berfikiran yang baik-baik, selalu ada tanggapan yang baik, kita akan tampak cantik.

“Ini hijab di kepala namun hijab yang lain pun kita harus jaga sebaik mungkin. Ini adalah nasihat untuk diri saya juga. Hijab di mulut dan juga hati kena jaga, termasuklah di fikiran. Cara kita fikir, cakap, apa yang kita pandang pada orang lain, semuanya biarlah yang elok-elok.

“Ini kerana bagi saya, bila kita letakkan pemikiran diri seiring dengan penampilan pasti semuanya menjadi positif. Contohnya saya ni sudah berkahwin dan ada suami, jadi saya berniat agar apabila suami pandang diri ini, biar sejuk hati dia.

“Tapi itu saya kerana sudah berkahwin, jadi niat itu adalah untuk suami. Jadi buat mereka yang belum ada pasangan, doalah agar bila orang tengok kita orang senang hati. Namun paling penting biarlah kerana Allah SWT,” ujar wanita yang berdarah kacukan Bugis, Cina, India dan Arab ini.

Tidak pernah menganggap diri bukanlah orang yang tepat untuk dijadikan sebagai idola wanita berhijab, duta Muhibah UNICEF ini memberitahu dia tidak pernah mempunyai gaya tertentu dalam mengenakan hijab.

Ujar Lisa lagi, dirinya masih lagi mencari hidayah dan mencuba pelbagai kaedah apabila memakai hijab.

“Ada yang minta untuk saya buatkan tutorial untuk gaya yang saya kenakan dalam mana-mana acara. Namun jujur saya kata, saya hanya pakai saja kerana fikirkan apa yang saya buat atau macam mana cara saya, biar suami sejuk tengok isterinya.

“Jadi biarlah saya belajar dulu. Tengok orang buat ataupun stylist pakaikan tudung, nampak senang saja. Namun bila di rumah saya cuba tak jadi. Maksimum gaya saya pakai hanya tiga saja, percaya tak?” kata Lisa sambil ketawa.

Tanggungjawab sebagai pelakon

Selepas tampil berhijab pada Jun 2019, pelakon yang memenangi dua kali anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ini muncul dengan buah tangan terbaru buat peminatnya yang merindui kelibat dalam kaca televisyen.

Menerusi telefilem Cantik yang membawakan genre seram, suspen yang ditayangkan di saluran Astro Citra, Lisa bergandingan dengan pelakon hebat seperti Faizal Hussein. Membawakan watak sebagai Dr Dina, Lisa buat pertama kalinya merasai pengalaman di sebalik proses autopsi di bilik mayat.

Merupakan lakonan pertamanya selepas berhijab, Lisa menunjukkan lakonan cemerlang walaupun di samping Faizal yang membawa watak sebagai Dr Malik.

“Untuk watak saya di dalam telefilem Cantik ini, saya meminta jasa baik kru untuk memberikan saya peluang untuk lawatan ke Jabatan Forensik bagi memahami bidang kerja ini. Ini kerana sebelum ini, saya tidak pernah tahu dan faham orang yang bekerja dalam bidang forensik ini.

“Jadi, alhamdulillah rezeki saya dapat melihat proses autopsi yang sebenar di hadapan mata sendiri apabila membuat lawatan dengan kru. Boleh dikatakan saya tengok proses tersebut dari A hingga Z sehinggakan banyak kali kru dan staf forensik bertanya keadaan saya okay atau tidak.

“Nak kata seram tapi saya ingatkan pada diri, ini adalah atas tuntutan kerja. Fikir dari aspek itu sahaja. Saya cuba fahami kerja mereka seperti pembantu perubatan dan cuba letak diri di tempat mereka.

“Insya-Allah, semua baik-baik sahaja dan saya cuba untuk melakukannya kerana jika tak cuba, kita tak akan tahu kan,” kata ibu kepada dua anak ini iaitu Yahaira Leanne (4) dan Yusof Leonne (2).

Menceritakan pengalamannya bekerja dengan Faizal Hussein, Lisa begitu memuji dan mengagumi cara pelakon lelaki itu ketika di set penggambaran.

Jelas Lisa yang sebelum ini pernah terlibat sama dengan Faizal untuk filem Manisnya Cinta di Cappadoccia pada 2014, dia menganggap Faizal adalah seorang pelakon senior yang patut dicontohi.

“Sebelum ini pernah bekerja namun bukan babak bersama. Jadi kali ini berpeluang berganding bersama abang Faizal.

“Bayangkan ya seorang pelakon yang dah mula berlakon sejak umur lima tahun dan sekarang sudah 52 tahun, dekat set saya lihat dia seorang pelakon yang sangat komited dan merendah diri.

“Tiada langsung aura seorang bintang dan dia sentiasa berusaha untuk membantu proses penggambaran bertambah lancar. Pada saya, ramai patut contohi cara abang Faizal bekerja dalam bidang seni lakonan ini,” ujar pelakon wanita ini yang mempunyai kelulusan pendidikan undang-undang daripada Kolej Help dan Universiti Aberystwyth di Wales, United Kingdom.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas