Utama

REBUT KEBERKATAN TUNAI ZAKAT DI BULAN RAMADAN

PPZ-MAIWP menggalakkan pembayaran zakat secara dalam talian melalui pautan www.zakat.com.my sekali gus membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
|
- Diterbit 23 April 2020 9:39 AM MYT

MESKIPUN dalam suasana Ramadan yang agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tetap menyediakan pelbagai kemudahan saluran pembayaran zakat kepada masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selari dengan motonya “Memudahkan Anda Berzakat”, PPZ-MAIWP menggalakkan urusan pembayaran zakat dilakukan secara dalam talian melalui pautan www.zakat.com.my sekali gus membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Segala urusan pembayaran, semakan, kiraan zakat serta cetakan resit rasmi boleh dilakukan di pautan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, PPZ-MAIWP juga baru melancarkan portal bagi pembayaran zakat fitrah secara dalam talian melalui pautan fitrah.zakat.com.my.

“Portal ini diwujudkan atas dasar cakna dengan keperluan semasa untuk memudahkan orang ramai dalam menunaikan kewajipan Rukun Islam ketiga dengan lebih cepat, mudah dan selamat hanya menggunakan gajet dari rumah,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, bagi memudahkan individu yang kurang mahir menggunakan platform digital atau dalam talian, PPZ-MAIWP juga membuka lima cawangan kaunter bermula 1 Ramadan.

Katanya, lima kaunter yang terlibat ialah di Taman Shamelin Perkasa, Wangsa Maju, Taman Tun Dr. Ismail, Putrajaya Presint 15 Diplomatik dan Labuan.

Kaunter akan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat sepanjang Ramadan bermula jam pukul 9 pagi hingga 3 petang.

“Pembayaran zakat di semua kaunter PPZ-MAIWP boleh dibuat secara tunai, cek, kad debit dan kad kredit perbankan Islam,” jelas beliau.

Tambah beliau, dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, PPZ-MAIWP mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan keselamatan semua pelanggan dan warga kerja PPZ-MAIWP terjamin.

Katanya, antara saluran lain yang turut disediakan oleh PPZ-MAIWP adalah melalui ejen-ejen sah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP iaitu 14 perbankan internet, PayHalal, MyEG, Pos Online dan juga pembayaran menggunakan e-wallet melalui U Mobile dan Boost.

Selain zakat fitrah, Ahmad Shukri memberitahu, antara zakat harta yang digalakkan untuk ditunaikan sepanjang Ramadan bagi mendapat gandaan pahala adalah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat emas, zakat KWSP dan zakat saham.

“Saya menyeru semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dapat merebut keberkatan hikmah Ramadan dengan berzakat agar lebih ramai asnaf dapat dibantu terutamanya di dalam keadaaan yang sukar ini.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua pembayar zakat khususnya di Wilayah Persekutuan kerana telah menjadi ‘hero’ kepada asnaf,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas